Pemilihan pemain bagi pasukan Selangor Angels musim ini jelas membawa misi besar, memburu kedudukan lima terbaik saingan Netball Super League Malaysia (NSL).
Walaupun sasaran itu tampak hanya selangkah lebih tinggi berbanding pencapaian musim lalu apabila menamatkan kempen di tangga keenam keseluruhan, ketua jurulatih baharu, Nor Affendy Borhan melihat potensi sebenar yang mampu mengubah landskap pasukan.
Advertisement
Menurutnya, kombinasi pemain muda dan berpengalaman memberi dimensi baharu kepada corak permainan Angels. Beliau percaya struktur latihan lebih sistematik serta pendekatan taktikal yang lebih moden mampu melonjakkan prestasi pasukan dalam saingan kompetitif musim ini.
Affendy turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jurulatih lelaki pertama yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan. Pengiktirafan itu bukan sahaja membuktikan kredibilitinya, malah memperlihatkan komitmen serius dalam pembangunan bola jaring negara.
Bagi Affendy, NSL adalah platform terbaik setakat ini dalam usaha memperkasakan sukan bola jaring Malaysia. Justeru, beliau nekad mencabar diri sendiri untuk membuktikan keupayaan sebagai jurulatih di pentas tertinggi liga domestik.
Selangor Angels ketika ini boleh diibaratkan seperti 'bersalin kulit'. Majoriti pemain baharu dibawa masuk bagi menyuntik tenaga segar, selain kehadiran ketua jurulatih yang lebih jelas dengan halatuju pasukan. Transformasi ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi langkah strategik untuk memastikan Angels mampu bersaing secara konsisten dan merealisasikan sasaran lima terbaik musim ini.