Berbaki 25 hari ke permulaan musim baru Netball Super League (NSL) 2026, muka baru Selangor Angels, Nur Alliya Aqhilah Zawawi, memasang impian untuk membantu pasukannya menamatkan saingan NSL dalam kelompok empat terbaik.
Meskipun Angels berdepan rombakan besar-besaran dalam senarai pemain, Nur Alliya percaya pengendali pasukan, Nor Affendy Borhan, memiliki rencana rapi demi memastikan mereka mampu bersaing dengan pencabar lain musim ini.
Advertisement
Dia dan rakan sepasukan berdepan cabaran tempoh persiapan singkat apabila hanya akan menjalani sesi latihan rasmi bermula minggu depan.
"Latihan sebenar belum bermula lagi tapi masing-masing sedang melakukan persiapan kecergasan secara individu.
"Kami akan memulakan latihan bersama pasukan pada awal bulan depan.
"Walaupun tidak berdepan sebarang tekanan, tapi saya mahu membawa kami ke tangga empat terbaik.
"(Kami perlu berwaspada dengan) Terengganu Marvels yang memiliki pemain yang sangat bagus selain dibarisi ramai pemain kebangsaan," katanya.
Bekas tonggak Putrajaya Dynamites itu turut berharap kehadirannya ke dalam skuad Angels mampu menjadi nilai tambah terbaik dalam usaha memperkukuhkan pasukan musim ini.
Pencapaian terbaik Angels dalam kancah itu ialah kedudukan ketiga dalam penampilan edisi 2021 dan 2022.