Negeri Sembilan melengkapkan musim gemilang mereka dalam Liga Hoki Wanita Malaysia 2026 apabila menjulang kejuaraan treble selepas menewaskan Territory Stingers dalam final Piala Vivian May Soars semalam.
Kejayaan tersebut menyaksikan Negeri Sembilan mengulangi pencapaian luar biasa musim 2023 apabila sebelum ini sudah meraih Piala Sumbangsih dan Piala Liga, sekali gus menegaskan status mereka sebagai kuasa utama hoki wanita tempatan.
Kejayaan musim ini hadir hasil perancangan tersusun barisan kejurulatihan yang bertekad mengembalikan reputasi Negeri Sembilan sebagai pasukan elit.
Pasukan itu turut memperkukuh skuad dengan mendapatkan beberapa pemain daripada kem Speedy Tigress, sekali gus memberi keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda.
Negeri Sembilan tampil cukup dominan dalam final apabila mendahului 5-0 pada separuh masa pertama sebelum Territory Stingers bangkit merapatkan jurang menerusi dua gol pantas di babak kedua.
Namun kebangkitan itu gagal menggugat ketenangan Negeri Sembilan yang terus mempertahankan kelebihan untuk menjulang trofi ketiga musim ini.
Lebih membanggakan, kejayaan Negeri Sembilan banyak dipacu pemain muda yang semakin menyerlah di pentas domestik dan antarabangsa.
Situasi itu dilihat sebagai perkembangan positif buat hoki wanita negara apabila lebih ramai pemain muda kini mampu memberi impak besar dalam skuad kebangsaan.
Gabungan pemain berpengalaman dan generasi baharu turut menjadi formula utama kestabilan pasukan sepanjang musim ini.
Sementara itu, aksi Liga Hoki Malaysia 2026 lelaki pula semakin menarik apabila rekod sempurna TNB Thunderstars akhirnya terhenti selepas diikat Maybank pada perlawanan terakhir penggal pertama liga.
Keputusan itu menyaksikan Thunderstars kini hanya memiliki kelebihan dua mata di puncak liga berbanding pencabar utama mereka.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, Thunderstars merekodkan tujuh kemenangan dan satu seri, manakala Maybank mengumpul enam kemenangan serta dua keputusan seri.
Walaupun begitu, kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan dijangka terus mendominasi baki saingan liga penghujung tahun ini.
Jentera serangan Thunderstars diterajui Azrai Aizad Abu Kamal dan Jang Jong Hyun yang masing-masing sudah meledak 11 gol sepanjang lapan aksi musim ini.
Jumlah sama turut dicatat pakar pukulan sudut penalti Maybank, Najmi Farizal Jazlan, yang kini menjadi sandaran utama pasukannya untuk menamatkan kemarau kejuaraan lebih tiga dekad.
Selepas tamat pusingan pertama, peluang Thunderstars untuk merampas mahkota liga daripada Terengganu Hockey Team dilihat cukup cerah.
Namun, Maybank kini mula muncul sebagai pencabar utama dan berpotensi menjadi pasukan ‘kuda hitam’ paling berbahaya dalam perebutan kejuaraan Liga Hoki Malaysia 2026.