Skip to main content

Bola Sepak

Negara berpopulasi 525,000 penduduk cipta sejarah di Piala Dunia! Cape Verde kini cabar Argentina pula

Negara berpopulasi 525,000 penduduk cipta sejarah di Piala Dunia! Cape Verde kini cabar Argentina pula

Cape Verde terus mencuri perhatian di Piala Dunia 2026 apabila mencipta sejarah sebagai negara dengan populasi paling kecil pernah mara ke pusingan kalah mati kejohanan itu.

Negara kepulauan di Lautan Atlantik yang hanya mempunyai kira-kira 525,000 penduduk itu mengesahkan kemaraan ke Pusingan 32 selepas menamatkan saingan Kumpulan H di tangga kedua.

Detik bersejarah itu hadir dengan penuh emosi apabila para pemain Cape Verde berkumpul mengelilingi sebuah telefon bimbit di tengah padang selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi, sambil menunggu keputusan perlawanan antara Sepanyol dan Uruguay.

Apabila wisel penamat dibunyikan yang mengesahkan kemenangan Sepanyol, pemain dan penyokong Cape Verde tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila mengetahui mereka secara rasmi layak ke pusingan kalah mati.

“Air mata kegembiraan mengalir di atas padang dan di tempat duduk penyokong. Inilah antara detik paling istimewa di Piala Dunia setakat ini,” kata pengulas BBC Radio 5 Live, Rob Law.

Kemaraan Cape Verde menjadi lebih mengagumkan apabila mereka mengharungi peringkat kumpulan tanpa tewas, bermula dengan keputusan seri 0-0 menentang Sepanyol, diikuti seri 2-2 dengan juara dunia dua kali Uruguay sebelum sekali lagi mengikat Arab Saudi tanpa jaringan.

Bekas pemain Sepanyol yang juga juara Piala Dunia 2010, Juan Mata, menyifatkan pencapaian Cape Verde sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Ia bukan hanya satu perlawanan menentang Sepanyol. Mereka membuktikannya dalam tiga aksi berturut-turut di pentas tertinggi,” katanya.

Rahsia kejayaan negara kecil

Kejayaan Cape Verde bukan berlaku secara kebetulan.

Persekutuan Bola Sepak Cape Verde (FCF) sejak beberapa tahun lalu melaksanakan strategi merekrut pemain daripada komuniti diaspora yang mempunyai pertalian darah dengan negara itu.

Daripada 26 pemain yang dibawa ke Piala Dunia, 14 dilahirkan di luar Cape Verde, manakala enam daripadanya berasal dari Rotterdam, Belanda.

Antara pemain penting ialah penyerang Dailon Livramento, yang menjaringkan gol kemenangan ketika aksi kelayakan menentang Cameroon, sekali gus membantu Cape Verde menyingkirkan juara Afrika lima kali itu daripada saingan.

Selain itu, kisah pertahanan Roberto Lopes turut menarik perhatian apabila beliau disunting menyertai skuad kebangsaan melalui platform profesional LinkedIn pada 2019, sebelum muncul tonggak utama pasukan.

Bubista arkitek kejayaan

Pengendalinya, Bubista, bekas pemain antarabangsa Cape Verde, dianggap watak utama di sebalik kebangkitan Blue Sharks sejak mengambil alih pasukan pada 2020.

Di bawah bimbingannya, Cape Verde berkembang menjadi pasukan yang berdisiplin, tersusun serta sukar ditewaskan.

Ketika menentang Sepanyol, mereka hanya melakukan satu kesalahan (foul) sepanjang 90 minit, rekod paling sedikit dicatatkan oleh sesebuah pasukan dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak data itu direkodkan pada 1966.

Bubista turut menerima pengiktirafan sebagai Jurulatih Terbaik Afrika 2025 selepas berjaya membawa Cape Verde layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

“Saya sentiasa percaya kami mampu berada di Piala Dunia. Bola sepak adalah milik semua orang, bukan hanya negara besar,” katanya.

Kini menanti cabaran Argentina

Ganjaran buat Cape Verde adalah pertemuan gergasi dunia, Argentina, pada aksi Pusingan 32.

Walaupun bakal berdepan juara bertahan yang diketuai Lionel Messi, Bubista tetap optimis.

“Bagi kami, tiada apa yang mustahil. Sejak awal lagi kami mahu memperkenalkan Cape Verde kepada dunia. Kini kami akan menentang Argentina dan Messi di pentas sebesar ini. Ia satu penghormatan buat negara kami,” katanya.

Pemain tengah Deroy Duarte pula mengakui masih sukar mempercayai apa yang telah dicapai pasukannya.

“Sejujurnya, saya rasa seperti sedang bermimpi. Kami akan meraikannya dahulu, kemudian fokus kepada Argentina. Ia perlawanan yang sukar, tetapi kami percaya apa sahaja boleh berlaku.”

Kisah Cape Verde turut mendapat pujian ramai pemerhati bola sepak dunia.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Australia, Ange Postecoglou, menyifatkan pencapaian mereka sebagai gambaran sebenar semangat Piala Dunia.

Sementara itu, bekas pertahanan England, Gary Neville, berkata kejayaan Cape Verde membuktikan format baharu Piala Dunia 48 pasukan membuka ruang kepada lebih banyak kisah luar biasa.

“Negara dengan hanya kira-kira 500,000 penduduk berjaya mara ke pusingan kalah mati, manakala pasukan besar seperti Uruguay tersingkir. Inilah keindahan Piala Dunia,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

Must Watch Video