Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail sekali lagi menjadi destinasi 38 pasukan ragbi tempatan untuk berentap selama tiga hari bagi Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan(National 7s 2026) edisi kali ini yang akan membuka tirai pada Jumaat ini.
Empat kategori masih menjadi taruhan di mana 15 pasukan untuk merebut Piala Amir Amri yang pertama kali diperkenalkan bagi kategori Terbuka Lelaki, 5 pasukan untuk kategori Terbuka Wanita, 10 pasukan Lelaki Bawah 21 Tahun dan 8 pasukan bagi kategori Wanita Bawah 21 Tahun.
Penyandang juara Terbuka Lelaki, Kelantan kekal menjadi tumpuan setelah diundi untuk berada di dalam kumpulan maut bersama Johor selaku naib juara edisi lalu, Selangor dan Pahang yang hadir dengan reputasi besar untuk muncul juara manakala peluang sama rata buat lain-lain pasukan di dalam kumpulan masing-masing.
"Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s kali ini bakal memberi cabaran berbeza berbanding edisi lalu di mana pencabar-pencabar baru ini dilihat lebih bersedia dengan pemain-pemain muda mereka untuk berentap dalam kategori tumpuan.
"Cuaca tidak menjadi halangan untuk penganjuran ketika ini walaupun Terengganu telah memasuki fasa Monsun Timur Laut namun kami sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan untuk edisi kali ini," ujar Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia(Malaysia Rugby) Amir Amri Mohammad.
Jelasnya lagi fasiliti Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail yang terletak di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus ini merupakan kawasan bebas banjir di mana rata-rata setiap pasukan menginap sekitar kawasan ini maka risiko untuk terkandas sekiranya bencana banjir itu adalah seminimum mungkin.
Pada edisi kali ini menyaksikan Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah kembali berentap dalam kategori Terbuka Lelaki.
Tuan rumah, Terengganu dan Johor merupakan pasukan yang menyertai ke semua kategori yang dipertandingkan pada kali ini.
Sementara itu, Selangor yang mencipta kejutan pada edisi lalu menerusi kejayaan merangkul kejuaraan kategori Wanita Terbuka dan Wanita Bawah 21 Tahun, kali ini hanya mempertaruhkan skuad bawah 21 tahun bagi mempertahankan gelaran, tanpa penyertaan pasukan senior mereka.
Untuk rekod, Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail menjadi venue Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.