Skip to main content

Boling

Natasha Roslan sasar gelaran sulung jelajah PWBA

Natasha Roslan sasar gelaran sulung jelajah PWBA

Ratu tenpin boling negara, Natasha Roslan, meletakkan sasaran untuk meraih gelaran sulung dalam saingan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat tahun ini.

Menurut Natasha, dengan memenangi gelaran dalam jelajah profesional wanita itu, ia bakal menjadi antara pencapaian yang masih belum berada dalam koleksi kejayaannya sepanjang karier sebagai atlet tenpin boling negara.

Advertisement

“Saya memang tidak pernah menang lagi gelaran dalam PWBA ini.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, itu antara pencapaian yang saya mahu capai dalam koleksi kemenangan saya,” katanya.

Bagaimanapun, dia memaklumkan tidak akan menyertai keseluruhan siri jelajah seperti yang dilakukan tahun lalu, sebaliknya hanya memilih beberapa kejohanan tertentu.

“Tahun lepas saya pergi keseluruhan jelajah ini di Amerika Syarikat, tetapi tahun ini mungkin saya akan sertai dua kejohanan sahaja kerana selepas itu saya perlu pulang untuk menghadapi Terbuka Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Natasha akan mengambil tempoh rehat selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum kembali menjalani latihan.

“Kami memang berlatih walaupun sepanjang bulan puasa.

“Jadi sempena Aidilfitri nanti kami akan berehat selama seminggu sebelum kembali menjalani latihan seperti biasa,” kata Natasha.

Tambahnya, jadual kejohanan akan kembali padat bermula April dengan penyertaan dalam kejohanan terbuka di Thailand sebagai persediaan awal sebelum menyertai kejohanan yang lain.

Must Watch Video