Perasmian sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) MyIPO 2026 menandakan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) khususnya dalam industri sukan yang kini berkembang pesat.
Antara pengisian utamanya, adalah Media Pickleball Challenge yang bukan sahaja mengeratkan jaringan profesional, malah menyemarakkan semangat kesukanan bersama pengamal media.
Advertisement
"(Kerjasama ini) mencerminkan hubungan strategik yang sangat kukuh di antara MyIPO dan media dalam memperkasakan agenda harta intelek.
"Media kekal sebagai rakan penting dalam memastikan mesej MyIPO sampai kepada masyarat dengan tepat, jelas dan berimpak tinggi. Media turut berperanan penting dalam membentuk persepsi awam terhadap nilai inovasi dan penjenamaan," kata Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff.

Paling mencuri tumpuan pastinya gandingan jurukamera Astro Arena, Muhd Al-Fathy Azlan dan pasangannya, yang muncul juara selepas melakukan kebangkitan dalam set terakhir selepas terikat 8-8 sebelum menundukkan lawan dari The Merdeka Times menerusi kemenangan 11-8.
HHIN MyIPO melakar sejarah tersendiri buat julung kali memperkenalkan kategori khas, Anugerah Inspirasi Madani, bagi mengiktiraf pencapaian atlet, pasukan serta organisasi yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan industri sukan menerusi pemerkasaan harta intelek.
Pengenalan anugerah itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam menghargai usaha pihak berkaitan yang berjaya mengangkat nilai inovasi, penjenamaan dan perlindungan harta intelek sebagai elemen penting dalam kemajuan arena sukan negara.
Anugerah itu terbuka kepada mana-mana atlet dan persatuan sukan yang berjaya merekodkan banyak kejayaan cemerlang membawa nama negara terutama di persada antarabangsa.
"(Anugerah ini khas buat) organisasi yang menghasilkan inovasi dalam sukan.
"Mana-mana syarikat seperti basikal dan kasut yang dihasilkan untuk membantu atlet atau pasukan bagi memenangi pertandingan," kata Ketua Komunikasi Korporat MyIPO, Akhtar Sahari.
Menariknya, pihak media juga berpeluang untuk tercalon sebagai penerima anugerah dengan liputan sukan yang menyeluruh dengan usaha jelas untuk menyajikan liputan tanpa batas jaringan buat masyarakat.
"Astro Arena adalah salah satu badan yang disenarai pendek kerana merupakan satu-satunya saluran sukan di Malaysia yang menyajikan program sukan di mana-mana dan bila-bila sahaja.
"Saluran Astro Arena mendapat sambutan seluruh rakyat Malaysia. Astro Arena sebenarnya menyatukan semua bangsa dan semua peringkat umur (di Malaysia)," katanya lagi.