Kerusi panas itu bertukar milik tak sampai dua bulan.
Juara Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee dua kali berturut-turut, Buriram United, mengumumkan bahawa kelab itu telah berpisah dengan ketua jurulatih, Mario Silva.
Pengendali dari Portugal itu meninggalkan Thunder Castle selepas kurang dua bulan mengendalikan pasukan berkenaan apabila dilantik pada awal September bagi menggantikan Mark Jackson.
Pemecatan itu berikutan prestasi kurang memuaskan selepas Silva hanya mengendalikan 10 perlawanan dalam semua kejohanan dengan rekod empat kemenangan, empat keputusan seri dan dua kekalahan.
Dalam masa sama, pengendali berusia 49 tahun itu mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 ketika aksi pertama ACLE musim ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), 15 September lalu.
Gergasi Thailand itu masih belum mengumumkan pengganti baharu, dengan kelab itu dijadualkan menerima kunjungan wakil Jepun, Kashima Antlers, dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Rabu.