Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohd Fahmy Abdul Jalil, optimis kejayaan skuad ragbi 7 sebelah lelaki negara menjuarai Kejohanan SEA 7s 2026 di Singapura minggu lalu mampu menjadi pembakar semangat dalam memburu lebih banyak keputusan positif sepanjang tahun ini.
Menurut Fahmy, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan sebenar skuad negara meskipun berdepan kekangan tempoh persiapan yang singkat, sekali gus wajar diberi pujian kepada barisan kejurulatihan dan pemain yang mempamerkan semangat juang serta komitmen tinggi di gelanggang.
Advertisement
Untuk rekod, skuad kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man muncul juara selepas berjaya menewaskan Thailand 10-5 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Kallang, Singapura, pada 31 Januari lalu.
Kejayaan itu dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan ragbi Malaysia di peringkat Asia Tenggara, selain menjadi indikator positif terhadap hala tuju pembangunan skuad kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, Fahmy turut berharap penganjuran Kejohanan Ragbi 15 Sebelah Wanita Asia Tenggara yang julung kali diadakan di Malaysia berjalan lancar seperti dirancang.
Kejohanan tersebut bakal menyaksikan tiga pasukan membabitkan Malaysia, Singapura dan Filipina berentap di Padang Astaka, Petaling Jaya, bermula 8 hingga 14 Februari ini.
Beliau menyifatkan penganjuran kejohanan itu sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha memartabatkan ragbi wanita negara di peringkat serantau.