“Saya nak ke Sukan SEA.”
Demikian luahan atlet 100 meter lari berpagar perempuan, Nur Qaseh Kiasatina Nurul Hisyam, dari Selangor yang memenangi pingat emas kategori B-18 Majlis Sekolah Sukan Malaysia (MSSM) di Stadium Darulmakmur, Kuantan, hari ini.
Dia melakukan 14.11s dalam separuh akhir sebelum memperbaiki catatannya 13.87s ketika final untuk memadam rekod dipegang 14.48s Penny Teh Pei Wen dari Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Nur Qaseh Kiasatina juga berpuas hati kerana membalas dendam selepas menamatkan saingan 100 meter dengan pingat perak semalam.
"Selepas kecewa terlepas sasaran emas semalam, Alhamdulillah hari ini saya tebusnya termasuk rekod kebangsaan -- dalam penyertaan terakhir saya dalam MSSM.
"Saya memang sudah jangkakan pencapaian ini melalui rekod baharu dalam MSSM Selangor sebelum ini," katanya.
Atlet yang mengambil aliran sains sukan ini turut cemerlang dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila mendapat keputusan lima A.
"Saya juga berharap untuk terpilih ke Sukan SEA tapi sebaik tamat kejohanan ini, saya mahu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi SPM," katanya.
Sementara itu, rekod 11 tahun 400m perempuan B-18 MSSM yang dipegang Zaimah Atifah Zainuddin akhirnya dilebur.
Rosnani Mahamad dari Johor mencipta sensasi dengan mencatat rekod baharu kejohanan dengan catatan 56.84s.