"Saya nak ikut jejak Sayyid Amin,” kata pemenang pingat emas acara 200 meter Lelaki B-18 Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026, Darwish Rushdan Firdaus.
Darwish Rushdan memecahkan rekod peribadi terbaiknya dengan catatan 21.46 saat ketika mengungguli final acara 200m di Stadium Darul Makmur, Kuantan hari ini.
Dengan kejayaan itu, Darwish Rushdan berkata dia ingin mengikut jejak idolanya, Sayyid Amin Roslan -- yang mencipta sejarah sebagai atlet pertama melakukan catatan bawah 21 saat acara 200 meter ketika bergelar Olahragawan MSSM pada 2024 -- untuk menggegarkan arena antarabangsa selepas ini.
"Sebelum ini, senior saya, Sayyid Amin, menang dan hari ini, giliran saya pula," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Ketika saya melihat kejayaannya, saya dapat rasakan selepas ini merupakan giliran saya pula.
"Alhamdulillah, hari ini saya dapat melakukannya.
"Sasaran seterusnya, saya mahu masuk ke dalam skuad pelapis negara dan seterusnya Sukan SEA kalau ada rezeki, Insya-Allah."