Pelancaran Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 pada 11 April menjadi simbolik pembukaan musim baru sukan sekolah.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, ia terus berperanan sebagai pembuka tirai penganjuran pelbagai kejohanan di seluruh negara yang penting dalam mencungkil bakat muda negara.
Advertisement
Upacara Pelancaran Takwim Majlis MSSM 2026 di Pasaraya Seremban Prima, pada esok akan dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, sekali gus membuka tirai kepada satu lagi musim pembangunan sukan akar umbi yang menjadi nadi pencarian bakat baru negara.
Bagi edisi 2025, MSSM menghimpunkan lebih 20 jenis sukan di seluruh negara melibatkan ribuan atlet sekolah dalam penganjuran berfasa.
Ia secara tidak langsung memperkukuhkan lagi aspek pembangunan dari peringkat awal ke pentas lebih tinggi.
Malah, kejohanan seperti olahraga, bola jaring dan hoki terus menjadi platform utama mencungkil bakat dengan sebahagian atlet melangkah ke program elit termasuk skuad kebangsaan dan sekolah sukan.
Majlis pelancaran ini dijangka menampilkan pelbagai elemen menarik termasuk perarakan atlet, persembahan khas serta gimik perasmian selain pengumuman rasmi kalendar penuh mssm 2026 yang akan berlangsung sepanjang tahun di beberapa negeri.
Lebih daripada sekadar majlis simbolik, ini turut menjadi penanda aras hala tuju MSSM pada tahun ini.
Dengan kesinambungan daripada kejayaan edisi terdahulu, MSSM 2026 dilihat terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem sukan negara kekal kompetitif, bermula dari peringkat sekolah.