Atlet Sabah, Gerfan Nigel Frank, mengungguli acara lompat bergalah dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Gerfan melakukan lompatan setinggi 4.6 meter dan lebih menarik, catatan itu turut mengatasi lompatan emasnya dalam saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 minggu lalu, iaitu 4.55 meter.
Atlet berusia 16 tahun memasang impian untuk memecahkan rekod MSSM 4.73 meter yang dicipta Iskandar Alwi pada 2012.
Meskipun gagal memecahkan rekod itu, Gerfan kekal positif untuk melakukannya tahun depan.
"Dalam kejohanan MSSM kali ini, saya dapat menyamai rekod peribadi saya 4.6 meter," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Dalam kejohanan sebelum ini, saya agak kecewa kerana tidak dapat menyamai rekod peribadi saya.
"Sasaran saya sebenarnya adalah untuk memecahkan rekod MSSM tetapi mungkin hari ini, belum rezeki saya.
"Setakat ini bagus, ada masa memang kecewa tetapi ia perkara biasa kerana dalam sukan, sentiasa ada keinginan untuk mendapatkan lebih daripada yang kita boleh."