Walaupun hanya melibatkan atlet sekolah, tahap persaingan di Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 membuktikan ia kini berada pada standard yang semakin tinggi apabila sebahagian besar peserta merupakan atlet yang sedang bersiap sedia untuk mewakili negeri masing-masing di SUKMA Selangor 2026.
Malah, beberapa atlet yang pernah mewakili negara di pentas antarabangsa turut mengambil bahagian, sekali gus menjadikan kejohanan itu medan yang lebih kompetitif dan mencabar buat pemanah remaja.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, menyifatkan perkembangan tersebut sebagai penanda aras yang ingin dicapai dalam pembangunan sukan memanah negara.
Menurutnya, MSSM kini berfungsi sebagai platform terbaik untuk atlet bawah 18 tahun menyerlahkan bakat dan potensi sebelum melangkah ke pentas lebih besar seperti SUKMA dan seterusnya skuad kebangsaan.
“MSSM bukan sekadar kejohanan sekolah, tetapi medan yang menjadi ukuran sebenar kemampuan atlet muda. Ramai yang beraksi di sini merupakan prospek negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Dia percaya tahap persaingan yang semakin meningkat akan membantu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti untuk mengukuhkan ekosistem pembangunan memanah negara.
Sementara itu, Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad, melihat barisan atlet yang bertanding di kejohanan kali ini sebagai aset berharga negara yang berpotensi menghadiahkan pingat Olimpik pertama buat Malaysia dalam sukan memanah.
Menurut Khairul, pembangunan atlet muda perlu dilakukan secara konsisten dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan bakat yang dimiliki dapat digilap secara menyeluruh.
“Ramai atlet muda yang mempunyai potensi besar. Apa yang penting ialah kesinambungan program pembangunan supaya mereka tidak tercicir dan terus berkembang sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam saingan individu, atlet muda dari Majlis Sukan Sekolah Perlis, Nur Qaireen Umairah mencuri tumpuan apabila muncul pemanah wanita terbaik kejohanan selepas meraih enam pingat emas.
Kejayaan tersebut hadir hasil ketabahan luar biasa Qaireen yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuk kecederaan yang mengganggu persiapannya sepanjang tahun ini.
Walaupun berdepan pelbagai rintangan, beliau tetap berjaya mengekalkan fokus dan membuktikan kemampuannya sebagai antara prospek terbaik negara.
“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini. Banyak cabaran yang perlu saya lalui termasuk kecederaan, tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan untuk menyerah kalah,” katanya.
Qaireen kini mengalihkan tumpuan kepada persiapan menghadapi SUKMA selain memasang impian untuk menembusi skuad kebangsaan pada masa hadapan.
Bagi kategori lelaki pula, Arif Arsyad Abdul Rahman dari Majlis Sukan Sekolah Selangor dinobatkan sebagai pemanah lelaki terbaik selepas meraih lima pingat emas dalam kategori bawah 12 tahun.
Kejayaan Arif turut memainkan peranan penting membantu Selangor muncul juara keseluruhan di laman sendiri selepas dua tahun menanti.
Menurut Arif, pencapaian tersebut menjadi penutup terbaik dalam kategori bawah 12 tahun sebelum dia melangkah ke kategori bawah 15 tahun yang dijangka lebih mencabar musim hadapan.
“Saya gembira dapat membantu Selangor menjadi juara keseluruhan. Tahun depan cabarannya lebih besar, jadi saya perlu bekerja lebih keras untuk terus bersaing,” katanya.
Kejohanan MSSM Memanah 2026 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam melahirkan generasi baharu pemanah negara, dengan ramai bakat muda mula menunjukkan potensi untuk menjadi sandaran Malaysia pada masa hadapan.