Pingat emas lompat kijang B-18 lelaki memberi makna tersendiri buat Muhd Khairel Fitri Kamil sekeluarga selepas dia mengungguli Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Lebih manis, Khairel Fitri juga melakar catatan terbaik peribadi iaitu 15.13 meter, sekali gus mengatasinya lompatannya dalam Sukan Malaysia (Sukma) Selangor, dua bulan lalu.
Biarpun beraksi dengan kecederaan di bahagian “patella” lutut serta buku lali, namun ia tidak menghalang atlet dari kedah itu untuk terus mencipta sensasi.
Khairel Fitri juga ingin menghadiahkan kemenangan tersebut buat ibu tercinta yang sudah lama mendoakan kejayaannya di pentas olahraga.
"Semalam emak hubungi saya untuk bertanya khabar dan pesan agar saya menang sempena hari jadinya esok.
"Saya puas hati dapat gembirakannya. Saya mengecewakan keluarga ketika mereka datang melihat aksi saya dalam Sukma.
"Mereka jarang dapat melihat aksi saya.
"Saya meraih tempat keempat akibat kesilapan sendiri dalam lompatan terakhir.
"Hari ini saya berjaya buktikan kemampuan dalam penampilan terakhir MSSM," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, sayap Bumi Kenyalang terbang tinggi di Pahang Darul Makmur.
Chloe Ten mencipta sensasi apabila memenangi emas dalam acara lompat tinggi B-18 perempuan menerusi lompatan 1.63 meter.
Lebih manis, dia juga memperbaharui catatan terbaiknya apabila mengatasi rekod 1.62m.