Majlis Sekolah Sukan (MSS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengekalkan reputasi sebagai kuasa besar gimrama apabila muncul juara keseluruhan kali ini.
Di sebalik menuai 17 pingat emas MSSM untuk ditabalkan sebagai juara keseluruhan, mereka mengungguli kategori pre-junior dan junior sementara muncul naib juara untuk kategori senior.
Bagi Pengerusi Teknikal Gimrama MSS WPKL, Clarissa Lee, usaha itu tidak akan berhasil sekiranya tanpa kerjasama yang erat, selain kesudian empat pemain yang kembali daripada 'persaraan' demi mengharumkan nama MSS WPKL.
"Ia diluar jangkaan kami, kerana untuk B-18 ada atlet yang berhenti tetapi kami merayu mereka pulang semula wakili negara.
"Ada yang cedera, kami jaga atlet kami. Walaupun mereka ini ada yang sudah berhenti." katanya.
Dalam masa sama, persembahan mempersonakan daripada atlet berusia 15 tahun, Casssidy Tan, menyumbang lima emas buat kontinjen MSS WPKL setelah membolot dua emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.