Mengakui penglibatan awal dalam bola baling dipacu niat yang kurang baik, namun siapa sangka ia merupakan titik permulaan kepada perjalanan karier sukan yang lebih jitu buat Nik Ahmad Shaamel Hakeemi.
Beralih dari bola sepak dan bermula kerana dipaksa ketika darjah enam, minat itu kemudian berubah menjadi satu komitmen serius apabila bakatnya mula dikesan jurulatih.
Sejak itu, atlet berusia 16 tahun tersebut enggan menoleh ke belakang dan terus mengasah kemahiran teknikal serta kecergasan demi mengejar impian mencipta kejayaan lebih besar pada masa depan.
Usaha sepenuh jiwa dicurahkan dalam setiap sesi latihan malah turut menjadikan gaya permainan olimpian dari Denmark, Mikkel Hansen.
Segala kerja keras semakin membuahkan hasil hingga menjadi pemain harapan pasukannya dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026, sekali gus menyaksikan Kelantan mara ke peringkat suku akhir.
"Mulanya saya menceburi sukan ini atas desakan cikgu. Biasalah (pemikiran) ketika budak-budak, hanya ingat nak tinggalkan sekolah.
"Sebelum bola baling, saya juga menyertai pasukan bola sepak dan sepak takraw.
"Kini saya berlatih hampir setiap hari dan tidak banyak menikmati cuti persekolahan.
"Idola saya adalah pemain dari Eropah, Hansen, yang memiliki skil yang padu selain saya mengagumi kekuatan balingan," katanya.