Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan pihaknya sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Datuk Azizulhasni Awang, termasuk terhadap perancangan pelumba berbasikal trek negara itu untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
MSN dalam satu kenyataan media berkata pendirian itu sudah disampaikan kepada Azizulhasni sejak persoalan mengenai masa depan dan perancangannya timbul sebelum serta selepas Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini.
Menurut MSN, beberapa siri pertemuan antara Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin bersama pegawai kanan MSN dan Azizulhasni telah diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan.
Malah, MSN berkata perkara itu turut diakui sendiri oleh Azizulhasni dalam kenyataan media beliau sebelum ini.
“Pihak MSN telah mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia pada 7 Julai 2026 bagi membincangkan Olympic Pathway yang melibatkan pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Datuk Azizulhasni selaku peneraju utama bagi mengumpulkan mata kelayakan yang dinyatakan oleh beliau,” menurut kenyataan itu.
MSN turut memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, sentiasa mengambil tahu perkembangan Azizulhasni serta memberikan sokongan terhadap perancangan dan keperluan beliau.
Dalam pertemuan pada 13 Ogos lalu, Azizulhasni bersama Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman, serta Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad, membincangkan persiapan ke Olimpik 2028.
MSN berkata Azizulhasni memaklumkan sudah mula merancang persiapan ke Los Angeles 2028, namun perancangan itu masih belum dimuktamadkan.
Antara keperluan yang dibangkitkan ialah tambahan sokongan sains sukan dan perubatan, kemudahan menggunakan fasiliti MSN dan ISN serta pelaksanaan program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.
“MSN dalam pertemuan itu telah menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan.
“Paling utama, pertemuan itu telah memperteguhkan lagi sokongan kepada Datuk Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” kata MSN.
MSN turut bersetuju menanggung penyertaan Azizulhasni ke kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.
Menurut MSN, Menteri Belia dan Sukan turut membawa perkara berkaitan perancangan dan keperluan sokongan Azizulhasni ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN 13 Ogos lalu dan mendapat persetujuan semua ahli lembaga.
Susulan itu, satu e-mel dihantar kepada Azizulhasni pada 27 Ogos 2026 bagi memuktamadkan hasil perbincangan.
MSN mahu Azizulhasni mengemukakan pelan lengkap program berserta anggaran perbelanjaan bagi memastikan peruntukan dapat disediakan sepanjang kempen kelayakan Olimpik.
Pelan itu merangkumi latihan dan pertandingan sehingga Los Angeles 2028, sasaran prestasi dan petunjuk prestasi utama (KPI), laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, fasiliti, peralatan serta logistik.
Ia turut merangkumi anggaran perbelanjaan terperinci bagi setiap tahun pelaksanaan program.
MSN berkata selepas menerima maklum balas daripada Azizulhasni, pihaknya akan melaksanakan proses yang diperlukan bagi menjamin peruntukan sepanjang kempen kelayakan berdasarkan perancangan yang dibentangkan menerusi Olympic Pathway.
Sementara itu, MSN mengakui terkejut dengan kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, baru-baru ini yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba berkenaan dilakukan.
MSN menegaskan pertemuan pada 13 Ogos lalu jelas membuktikan sebaliknya.
Malah, menurut MSN, Azizulhasni dan pihaknya bersetuju bahawa pengumuman mengenai program latihan ke Olimpik 2028 hanya akan dibuat secara bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Oktober 2026.
“MSN menghormati permintaan itu, terutama demi memastikan fokus dan persiapan Datuk Azizulhasni tidak terjejas sebelum temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September ini,” katanya.
Bagaimanapun, MSN berkata pihaknya tiada pilihan selain menjelaskan fakta sebenar susulan beberapa laporan media yang disiarkan berhubung isu berkenaan.
MSN menegaskan dakwaan bahawa pihaknya tidak menghiraukan perancangan Azizulhasni atau tidak menghargai jasa dan sumbangan beliau adalah tidak bertanggungjawab.
“Komitmen dan sokongan MSN kepada wira berbasikal negara ini sentiasa teguh sejak sekian lama,” tegas MSN.