Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil maklum mengenai beberapa laporan media berhubung kenyataan Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) yang mengesyorkan agar MSN mempertimbangkan kenaikan gaji jurulatih tempatan.
MSN ingin menegaskan bahawa di bawah pelaksanaan Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) 2024, seramai sembilan (9) jurulatih tempatan yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan menerima gaji melebihi RM8,000 sebulan. Penetapan kadar imbuhan ini adalah berdasarkan pendekatan yang mengambil kira aspek kelayakan, pengalaman serta prestasi semasa dalam perkhidmatan sebagai jurulatih kebangsaan.
Advertisement
Bagi sukan wushu khususnya, jurulatih tempatan yang mempunyai pengalaman luas serta rekod pencapaian di peringkat antarabangsa turut menerima kadar imbuhan yang kompetitif, selaras dengan tahap kepakaran dan sumbangan mereka dalam memperkukuh pembangunan serta prestasi atlet negara.
Stadium Astro menerusi berita Nadi Arena pada dua hari lalu melaporkan tentang gesaan daripada Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Chong Kim Fatt, yang meminta agar struktur gaji jurulatih dikaji semula yang dianggap kadar imbuhan yang ditawarkan ketika ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan tanggungjawab besar yang perlu digalas jurulatih elit. Situasi itu menyebabkan jurulatih tempatan berpengalaman memilih haluan lain, manakala jurulatih luar negara pula menolak tawaran untuk berkhidmat di Malaysia.
Dalam masa yang sama, Persatuan Sukan Kebangsaan juga disaran memainkan peranan proaktif dalam menghargai sumbangan jurulatih masing-masing melalui pemberian imbuhan tambahan. Pendekatan ini telah dilaksanakan oleh beberapa persatuan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang menyediakan sokongan tambahan bagi memperkukuh kebajikan dan motivasi jurulatih.
Lembaga Pengurusan MSN telah meluluskan penstrukturan semula SPJK melibatkan peningkatan antara 25 hingga 40 peratus kenaikan kadar gaji asas berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK), berkuatkuasa pada 1 Januari 2024.
Penambahbaikan skim ini juga termasuk pengenalan imbuhan tambahan yang mengambil kira tempoh dalam bidang kejurulatihan, imbuhan berasaskan pencapaian terbaik ketika bergelar atlet sebagai galakan kepada bekas atlet kebangsaan untuk terus menyumbang dalam bidang kejurulatihan.
Selain gaji asas, jurulatih tempatan turut menikmati Elaun Khas Jurulatih selaras dengan peranan strategik mereka dalam sistem sukan berprestasi tinggi negara. Jurulatih juga layak dipertimbangkan untuk kenaikan gaji secara berkala setiap dua (2) tahun, tertakluk kepada penilaian prestasi serta pencapaian di temasya utama dan kejohanan peringkat dunia.
Di samping itu, melalui Skim Ganjaran Jurulatih (SGAR), jurulatih menerima ganjaran sebanyak 20% daripada jumlah ganjaran yang diperoleh atlet menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Kebangsaan (SHAKAM) dan Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR) bagi kejayaan di temasya dan kejohanan yang diiktiraf.
Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen berterusan MSN dalam memperkukuh kebajikan, motivasi dan laluan kerjaya jurulatih tempatan agar setanding dengan keperluan serta tuntutan prestasi sukan negara di peringkat tertinggi.