Adam Norrodin daripada AMI SUZUKI MOTORSPORT menamatkan kemarau kemenangan musim ini apabila menawan Perlumbaan 2 kategori MSBK1000 A dalam Pusingan Ketiga Kejohanan Superbike MAM Malaysia 2026 hari ini.
Kejayaan ini juga menebus kehampaanya yang menghadapi masalah mekanikal dalam Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang itu.
Namun, strategi awalnya Mohammad Adenanta Putra daripada ASTRA HONDA RACING TEAM untuk mendahului awal perlumbaan mendorongnya mengerahkan jentera ke tahap terbaik, sambil diekori Kasma Daniel Kasmayudin, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Fahmi Abdul Wahaf.
Dan selepas barisan hadapan saling bertukar kedudukan, Adam berhasil mengekalkan rentaknya sejak mendahului pusingan kelapan sebelum ditabalkan sebagai juara.
"Sejujurnya, saya telah lama mengimpikan untuk meraih kemenangan ini. Walaupun kami telah berjaya menaiki podium dengan penamat di tempat ketiga sebelum ini, kami akhirnya mencapai kemenangan pertama dan ia satu pencapaian yang sangat istimewa dan emosional bagi saya. Kami sebenarnya mempunyai peluang untuk muncul juara dalam Perlumbaan 1 semalam, tetapi malangnya beberapa masalah mekanikal yang tidak dijangka dengan motosikal jadi penghalang kami".
"Pasukan ini telah melakukan kerja yang sangat luar biasa di sebalik tabir untuk bangkit semula hari ini. Dedikasi mereka tiada tandingan, kadangkala berjaga dan bekerja sehingga lewat malam sehingga jam 1 pagi hanya untuk memastikan persediaan motosikal benar-benar sempurna untuk perlumbaan hari ini. Ia menunjukkan bahawa dedikasi dan kerja keras yang berterusan benar-benar membuahkan hasil pada akhirnya".
"Saya ingin dedikasikan kemenangan ini kepada setiap individu dalam pasukan yang sudah mencurahkan begitu banyak masa dan usaha dalam projek ini untuk tempoh yang begitu lama. Akhirnya kami mencapai apa yang kami idamkan bersama. Semoga kami dapat meneruskan momentum ini dan mengulangi keputusan hebat ini pada pusingan seterusnya," kata Adam.