Saingan MPL MY kembali pada hari ketiga minggu pertama dengan pertembungan antara Team Rey dan juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG).
SRG yang mengekalkan barisan pemain sama seperti musim lalu membuktikan mereka masih sukar digugat apabila tampil dominan sepanjang perlawanan.
Gandingan hero Baxia, Rafaela dan Belerick menjadi duri dalam daging buat Team Rey, sekali gus menyukarkan mereka untuk mencapai objektif permainan.
Dengan kelebihan sekitar 14,000 gold, SRG tidak menunggu lama untuk menamatkan permainan pertama dalam tempoh kurang 12 minit, hasil bantuan Lord.
Momentum itu diteruskan SRG dalam permainan kedua. Sejak perebutan Turtle, skuad kendalian Coach Arcadia terus menguasai permainan dan tidak berdepan masalah untuk mengumpul kill point.
Marksman SRG, Innocent, tampil cemerlang menerusi penggunaan hero Obsidia apabila berjaya mencatat Savage pertamanya musim ini.
Kejayaan tersebut melengkapkan kemenangan bergaya SRG apabila mereka menundukkan Team Rey 2-0, sekali gus meneruskan langkah positif selaku juara bertahan MPL MY.