Pahang Rangers meraih kemenangan pertama dalam aksi final pertama Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) selepas menewaskan Selangor 4-3.
Perlawanan bermula dengan kejutan apabila pertahanan Pahang Rangers, Harith Naim, dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain import Brazil, Marlon Araujo.
Selangor memanfaatkan kelebihan itu untuk membuka jaringan menerusi Borges Evandro pada minit kelapan.
Bagaimanapun, Pahang Rangers bangkit dengan tiga gol berturut-turut menerusi Muhammad Razin A-Rahim, Rodrigo Galvao dan Muhammad Syarifuddin Md Akhir untuk mendahului 3-1.
Pahang Rangers terus menekan apabila Felipe de Almeida Souza menambah jaringan keempat bagi melebarkan jurang kepada 4-1.
Selangor enggan mengalah dan kembali menghidupkan peluang menerusi dua gol daripada Marlon Araujo dan Borges Evandro.
Namun, kebangkitan itu tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan apabila Pahang Rangers mempertahankan kelebihan 4-3 sehingga wisel penamat.
Keputusan itu memberikan tiga mata buat Pahang Rangers, namun Selangor masih mempunyai peluang untuk memburu kejuaraan dengan mengheret ke perlawanan ketiga jika memenangi final kedua 31 Oktober ini.