Grand Prix Malaysia 2026 mencipta sejarah apabila merekodkan kehadiran keseluruhan 196,542 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Jumlah itu menjadi rekod kehadiran baharu buat penganjuran MotoGP Malaysia, sekali gus membuktikan tarikan sukan permotoran itu terus mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan dan antarabangsa.
Menerusi perkongsian di media sosial, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang hadir memeriahkan Grand Prix Malaysia edisi 2026.
Record Sepang crowd here to see the #MalaysianGP! 🙌 THANK YOU to every single one of you ❤️ terima kasih! #MotoGP https://t.co/C4HpDAewYm
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) November 1, 2026
“Terima kasih kepada setiap seorang daripada anda,” menurut mesej penghargaan berkenaan.
Kejayaan itu turut menyaksikan Sepang mengatasi jumlah kehadiran Grand Prix Indonesia 2026 di Litar Antarabangsa Mandalika yang merekodkan 157,875 penonton sepanjang tiga hari, dari 9 hingga 11 Oktober lalu.
Perbezaan sebanyak 38,667 penonton memihak kepada Sepang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Grand Prix Malaysia sebagai antara tarikan utama dalam kalendar MotoGP.
Kehadiran hampir 200,000 penonton itu menjadi suntikan positif kepada penganjuran sukan permotoran negara, selain mencerminkan sokongan berterusan peminat terhadap aksi perlumbaan bertaraf dunia di Sepang.