Skip to main content

Sukan Lain

MotoGP: Bagnaia lega jentera GP26 kini sudah capai prestasi sepatutnya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bagnaia

Juara dunia dua kali MotoGP yang juga rakan sepasukan Marc Marquez, Francesco Bagnaia, kini boleh menarik nafas lega apabila mengakui bahawa telah menemui rentak sebenar dan momentum terbaik bersama jentera GP26 bagi menghadapi saingan musim ini.

Kelegaan itu muncul selepas Pecco terpaksa melalui musim yang boleh dikatakan teruk sepanjang saingan 2025 berbanding musim sebelumnya.

Advertisement

Penunggang Itali itu dikatakan bergelut dengan masalah sistem cengkaman tayar hadapan ketika menempuh musim 2025 yang menyukarkan beliau mengambil selekoh dengan lebih berkesan.

Pecco memenangi sebelas siri perlumbaan pada musim 2024 namun hanya mampu mencatatkan dua kemenangan sepanjang musim 2025.

Bagaimanapun selepas melakukan ujian pra musim sejuk yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, Pecco akhirnya memuji jentera GP26 yang disifatkan telah melalui fasa perubahan seperti yang dikehendakinnya.

"Selepas saya memulakan ujian kali ini, saya akhirnya menemuinya (rentak henjutan sebenar). Kini GP26 lebih mampu melakukan gerakan sepertimana yang saya mahukan dan ia nyata lebih baik. Boleh dikatakan krew teknikal lebih memahami kehendak dan kemahuan yang tepat." Katanya ketika ditemui media selepas acara pelancaran rasmi MotoGP 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Pecco lagi, hasil yang ditemui ketika melakukan ujian jentera di SIC, GP26 telah memenuhi standard dan keperluan semua yang terlibat dalam tempoh tiga hari ia berlangsung.

Kini jelasnya, ujian sebenar kemampuan jentera itu hanya ketika berlangsungnya perlumbaan pertama MotoGP 2026 nanti.

"Apabila anda menguji benda baharu tentulah banyak perkara yang perlu pengubahsuaian yang baru dan mungkin akan ada salah satu yang tidak kena." Jelasnya lagi.

Pelumba berusia 29 tahun itu yakin bahawa corak tunggangan yang lebih agresif mampu dijelmakannya untuk aksi musim ini yang dijangka lebih mencabar.

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video