Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terus menunjukkan perkembangan positif di Grand Prix (GP) Aragon apabila berjaya menempah slot ke sesi Q2 selepas menamatkan sesi Latihan (PR) di kedudukan ke-14 semalam.
Meskipun tidak berada dalam kelompok 10 terbaik, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu membuktikan kecekapannya apabila hanya dipisahkan 0.889 saat daripada pelumba terpantas, David Almansa dari Sepanyol.
Hakim Danish merekodkan masa 1 minit 58.362 saat (s) di Litar MotorLand Aragon, manakala Almansa mencatat 1:57.473s untuk muncul peneraju sesi.
Pelumba Red Bull KTM Tech3, Rico Salmela mengisi tempat kedua dengan catatan 1:57.552s, diikuti rakan sepasukannya, Valentin Perrone di tempat ketiga menerusi masa 1:57.927s.
Lebih menarik, jurang Hakim Danish dengan Perrone yang menghuni kelompok tiga terbaik hanya 0.435s, sekali gus menggambarkan persaingan sengit dalam kelompok hadapan.
Pelumba negara itu turut memperlihatkan peningkatan ketara berbanding sesi FP1 apabila menamatkan sesi berkenaan di tempat ke-11 dengan masa 1:59.489s.
Perkembangan positif itu hadir ketika Hakim Danish berada di landasan baik dalam musimnya apabila kini menghuni tempat kelapan keseluruhan dengan 86 mata selepas 12 pusingan.
Dia juga berada di kedudukan ketiga dalam saingan Rookie of the Year, sekali gus menambah motivasi untuk meneruskan momentum di Aragon.
Dengan tiket ke Q2 sudah berada dalam genggaman, tumpuan Hakim Danish kini beralih kepada sesi kelayakan esok.
Peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memburu kedudukan grid yang lebih baik sebelum pelumba negara tersebut turun beraksi dalam perlumbaan Moto3 GP Aragon.