Skip to main content

Sepak Takraw

Mohd Sumali Reduan: Arkitek kebangkitan sepak takraw negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Sumali

Nama Datuk Mohd Sumali Reduan terpahat sebagai arkitek kebangkitan sepak takraw Malaysia, bukan sekadar kejayaan di gelanggang, tetapi kerana keteguhan kepimpinannya ketika Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dilanda ribut.

Saat persatuan berdepan cabaran dalaman dan ketidaktentuan hala tuju, beliau tampil menghulurkan tangan, menyatukan kepimpinan serta memulihkan keyakinan seluruh keluarga sepak takraw negara.

Advertisement

Daripada kestabilan itu, kebangkitan prestasi mula terhasil. Malaysia kembali menjulang kejuaraan dunia, sekali gus menamatkan kemarau panjang. Lebih bermakna, skuad negara akhirnya menamatkan penantian 34 tahun menewaskan Thailand, musuh tradisi yang sekian lama menjadi kayu ukur dunia. Kemenangan ini menjadi simbol kebangkitan mental, disiplin dan maruah sepak takraw Malaysia.

Pandangan jauh Mohd Sumali Reduan turut dizahirkan melalui pembangunan jangka panjang apabila Akademi Sepak Takraw Negara menerusi program National Sepak Takraw Development Program (NSTDP) memasuki fasa penting.

Pada awal tahun hadapan, bangunan yang terletak di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru dijadualkan dilancarkan, dengan pembinaannya siap sepenuhnya pada hujung bulan Januari. Ia bakal menjadi pusat pembangunan bakat, latihan berprestasi tinggi dan nadi baharu kesinambungan takraw negara.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharom, seluruh pasukan kejurulatihan, serta paling penting para pemain yang menjadi watak utama di gelanggang. Penghargaan juga buat keluarga besar sepak takraw negara yang terus sabar, setia dan percaya, sehingga akhirnya takraw Malaysia kembali berada di landasan yang tepat.

Ini bukan sekadar kisah kemenangan, tetapi naratif kebangkitan sebuah warisan sukan negara.

 

Must Watch Video