Mohamed Salah tidak akan menyertai skuad Mesir yang bakal berlepas ke Sudan Selatan untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Negara-negara Afrika (AFCON) kerana perlawanan tersebut bakal dimainkan di atas permukaan padang tiruan, jelas Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) pada Sabtu.
Mesir terdahulu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 bertemu Angola untuk perlawanan pembukaan kumpulan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Cairo.
Salah yang baru berhijrah ke kelab Turkiye, Trabzonspor, musim ini mengetuai pasukan negaranya dalam perlawanan menentang Angola namun tidak beraksi penuh setelah dikeluarkan pada minit ke-61.
"Barisan kejurulatihan Mesir yang diketuai oleh Hossam Hassan, membuat keputusan untuk merehatkan Mohamed Salah bagi perlawanan menentang Sudan Selatan yang dijadulkan berlangsung pada 29 September atas faktor permukaan padang," ujar EFA di sosial media.
"Perkara ini telah dipersetujui oleh barisan kejurulatihan serta Mohamed Salah sendiri sebelum perlawanan menentang Angola lagi yang dia takkan bermain menentang Sudan Selatan, dan barisan kejurulatihan memilih pendekatan ini untuk melindungi pemain tersebut," tambah EFA.
Perlawanan di antara Sudan Selatan dan Mesir bakal berlangsung di Stadium Juba, yang memiliki permukaan padang tiruan.