Malaysia terus mengukuhkan dominasi dalam persaingan golf tradisi dua negara apabila berjaya menundukkan Singapura untuk mempertahankan kejuaraan MGA-SGA Annual Match 2026 edisi 2026, yang turut menyaksikan sambutan ulang tahun ke-50 kejohanan berkenaan.
Kejayaan itu cukup bermakna buat kontinjen negara apabila Malaysia bukan sahaja mempertahankan gelaran di laman sendiri, malah melebarkan rekod kemenangan keseluruhan kepada 29 kali sejak persaingan itu diperkenalkan pada 1976.
Singapura pula merekodkan 12 kemenangan, manakala dua edisi berakhir dengan keputusan seri.
Kemenangan Malaysia banyak dipacu prestasi cemerlang dalam acara berpasukan menerusi format Four Ball dan Alternate Shot atau Four-some, yang menyaksikan pemain negara berjaya mencipta kelebihan berbanding lawan.
Meskipun Malaysia terpaksa akur dalam acara perseorangan Match Play, kelebihan yang diraih dalam dua format berpasukan itu sudah cukup untuk memastikan kejuaraan kekal di tangan negara.
Lebih membanggakan, kejayaan kali ini turut mencerminkan keberkesanan program pembangunan golf negara apabila majoriti daripada 12 pemain yang mewakili Malaysia merupakan produk Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) kendalian Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Perkara itu menjadi petunjuk positif terhadap usaha pembangunan bakat muda yang terus membekalkan pemain untuk menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.