Selepas terhenti selama tujuh tahun, pertemuan tahunan di antara Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Persatuan Golf Singapura (SGA) kembali membuka tirainya menerusi MGA-SGA Annual Match 2026 yang berlangsung di Tanjong Puteri Golf Resort, Johor bermula 8 hingga 10 November.
Kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1976 itu menyaksikan seramai 24 pemain berentap dalam aksi persahabatan kompetitif, dengan masing-masing 12 pemain mewakili Malaysia dan Singapura.
Edisi kali ini turut membawa makna tersendiri apabila Malaysia diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah selepas kejohanan terpaksa dihentikan susulan pandemik COVID-19.
Menurut Pengerusi NJDP-MGA, Mohd Fauzi Mesran, Malaysia masih memegang rekod kemenangan keseluruhan sebanyak 28 kali berbanding Singapura dengan 12 kemenangan, manakala dua pertemuan berakhir dengan keputusan seri.
Malaysia kali terakhir muncul juara ketika edisi yang berlangsung di Sembawang Country Club, Singapura, sekali gus meletakkan skuad negara dalam misi meneruskan dominasi apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu tahun ini.
Singapura pula bakal menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya pada 2027, dengan persaingan tahunan itu terus menjadi platform mengukuhkan hubungan serta pembangunan golf antara kedua-dua negara.