Usaha memperkukuh barisan pelapis golf negara terus diperkasa menerusi himpunan kelompok pemain muda terbaik di selatan tanah air, sekali gus menjadi antara inisiatif penting Persatuan Golf Malaysia (MGA) dalam mempersiapkan wakil negara ke pentas antarabangsa.
Tanjong Puteri Golf Resort menjadi lokasi himpunan barisan pemain muda terbaik negara yang kini membentuk kelompok elit di bawah Program Pembangunan Junior Kebangsaan (NJDP) 2026 anjuran MGA.
Advertisement
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam mempersiapkan pemain menghadapi kejohanan lebih kompetitif dan berprestij, selain membina asas kukuh dalam aspek teknikal serta mental.
Barisan pemain yang dipilih pula adalah berdasarkan prestasi, konsistensi serta disiplin yang ditunjukkan sejak Januari tahun lalu, dalam usaha memastikan mereka benar-benar bersedia menggalas cabaran sebagai wakil negara di pentas lebih tinggi.
Menurut Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, usaha berterusan ini penting bagi memastikan pembangunan bakat muda negara sentiasa berada pada landasan tepat dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, agenda kali ini turut menyaksikan pengenalan rancangan baharu iaitu Program Pembangunan Pemain Amatur Kebangsaan (NADP), yang bertindak sebagai kesinambungan buat pemain daripada program NJDP sebelum ini.
Pengerusi NJDP, Mohd Fauzi Mesran berkata, NADP akan memberi fokus kepada pemain berusia antara 18 hingga 21 tahun sebagai persediaan ke fasa seterusnya dalam karier mereka.
Langkah itu dilihat mampu memastikan kesinambungan pembangunan atlet golf negara, sekali gus memperkukuh struktur pelapis dari peringkat junior hingga ke tahap elit.