Malaysian Football League (MFL) menyerahkan laporan lengkap berserta bukti insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC serta Selangor FC ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Penyerahan itu dibuat selepas MFL selesai mengumpulkan semua maklumat berkaitan insiden berkenaan daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil serta Ketua Pegawai Medan.
Segala laporan dan bukti tersebut kini diserahkan kepada FAM untuk penelitian serta tindakan lanjut menerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan.
“MFL memandang serius insiden yang berlaku ini dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat mencetuskan kekecohan dan berkelakuan tidak wajar sehingga mengetepikan prinsip semangat kesukanan yang tinggi”. - Kenyataan MFL yang dilihat merujuk kepada insiden Nazmi Faiz Mansor terhadap Kim Pan Gon. @ASTROARENA
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) November 10, 2026
Dalam masa sama, MFL turut menjalankan penelitian bagi mengenal pasti tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan serta bidang kuasanya sendiri.
MFL menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang terbukti mencetuskan kekecohan serta melakukan perbuatan tidak wajar sehingga mencemarkan semangat kesukanan.
Perkembangan itu menyaksikan insiden yang mencetuskan perhatian selepas perlawanan kedua-dua pasukan kini memasuki fasa penelitian tatatertib, dengan tindakan selanjutnya terletak di bawah bidang kuasa FAM.