Ketua jurulatih Sabah, Juan Torres Garrido, menggesa pasukannya memanfaatkan sebaik mungkin peluang beraksi di laman sendiri bagi menoktahkan gelaran kejuaraan MFL Challenge Cup 2025/2026 bertemu Penang, malam esok.
Sedar ia bukan tugas mudah, pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya anak buahnya sudah siap sedia bagi menamatkan kemarau tujuh tahun selepas kali terakhir The Rhinos menjulang trofi domestik ialah ketika muncul juara Liga Perdana 2019.
Advertisement
Juan Torres sedia mempertaruhkan barisan terbaik Sabah ketika aksi final kedua di Likas tatkala pasukannya bebas daripada isu kecederaan dan penggantungan pemain.
Dia turut mengakui peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan sambil beri jaminan tuan rumah akan berjuang habis-habisan demi menghadiahkan kejuaraan MFL Challenge Cup sulung kepada seluruh rakyat Sabah.
Untuk rekod, ini merupakan final kedua Sabah musim ini selepas turut beraksi dalam final Piala FA menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) Disember tahun lalu.
"Saya tidak mahu hanya tumpukan kepada seorang pemain semata-mata. Semua tonggak penting buat saya.
"Mujur kesemua anak buah saya sedia untuk diturunkan dalam aksi final.
"Sokongan padu akan memberikan kelebihan buat kami.
"Saya berjanji bahawa kami akan memberikan persembahan menarik serta berikan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan," katanya.