Major League Soccer (MLS) yakin kehadiran gabungan pemain tempatan dan bintang bertaraf dunia akan terus memacu populariti liga itu selepas berakhirnya Piala Dunia 2026, dengan Lionel Messi dijangka kembali menyarung jersi Inter Miami sejurus tamat aksi final Ahad (awal pagi Isnin waktu tempatan) ini.
Messi, yang bakal mengetuai Argentina menentang Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia, dijangka kembali memperkuatkan Inter Miami selepas kejohanan, sekali gus memberi lonjakan baharu kepada MLS.
Kesan kehadiran kapten Argentina itu disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah liga, hampir dua dekad selepas David Beckham mencetuskan revolusi apabila menyertai LA Galaxy pada 2007.
Pesuruhjaya MLS, Don Garber, mengakui sendiri tidak pernah membayangkan seorang pemain sehebat Messi akan beraksi dalam liga domestik Amerika Syarikat.
“Tiada seorang pun dalam liga ini benar-benar memahami siapa Messi ketika dia bermain di Barcelona, selain daripada kami sebagai peminat.
“Melihat dia menghasilkan hantaran lintang menggunakan kaki kanan pada saat-saat akhir untuk memenangi perlawanan di pentas Piala Dunia, kemudian menanggalkan jersi Argentina dan kembali menyarung jersi MLS, ia sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan,” katanya.
Messi sekali lagi membuktikan pengaruh besarnya apabila mencipta dua bantuan gol pada saat-saat akhir ketika Argentina menewaskan England 2-1 dalam separuh akhir, sekali gus membawa juara bertahan itu ke final.
Garber percaya Piala Dunia 2026 yang dianjurkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan menjadi titik permulaan kepada era baharu perkembangan bola sepak di negara itu, dengan MLS dijangka menjadi penerima manfaat terbesar.
Sementara itu, penyerang baharu Orlando City, Antoine Griezmann, turut optimis tahap persaingan MLS kini jauh lebih kompetitif berbanding beberapa tahun lalu.
Bekas bintang Atletico Madrid itu berkata kejayaan menganjurkan Piala Dunia mampu menarik lebih ramai kanak-kanak Amerika untuk meminati bola sepak.
“Piala Dunia membantu memperkenalkan bola sepak kepada lebih ramai kanak-kanak di Amerika.
“Harapan kami adalah untuk terus memberikan persembahan menarik di stadium supaya mereka bukan sahaja menonton, malah mahu bermain bola sepak,” katanya.
Dengan kehadiran bintang seperti Messi, Griezmann dan beberapa nama besar lain, MLS dilihat berada pada landasan terbaik untuk memanfaatkan impak Piala Dunia 2026 dan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara liga yang semakin berkembang di pentas global.