Sejak pelari nombor satu negara itu berkelana di Amerika Syarikat (AS) bagi melanjutkan pelajaran ke Univeriti Auburn, Azeem Fahmi, tidak henti mencipta sensasi tersendiri dengan meraih pelbagai pencapaian sebelum menyamai rekod kebangsaan miliknya sendiri baru-baru ini.
Namanya mula menjadi perhatian pada 2018 dan 2019 apabila menampilkan larian memukau untuk mengungguli saingan 100 meter (m) dan 200m dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) mewakili kontinjen Perak.
Sukan Malaysia (Sukma) 2022 juga menyaksikan dirinya bergelar juara 100m di TM Stadium Nasional menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Muhammad Haiqal Hanafi.
Sepanjang penglibatannya dalam Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA), pelari berusia 22 tahun itu merangkul beberapa pencapaian, sekali gus terus mengangkat momentum secara individu mahupun beraksi mewakili universitinya.
Jika ditanya, sudah pasti ia tidak akan menyesali keputusannya menyertai Universiti Auburn yang jelas memperkasa bakatnya, melahirkan produk berkualiti dan seterusnya merupakan antara kuasa besar dalam dunia olahraga.
Bukan setakat acara riben biru, malah larian jarak dekat seperti kategori 60m dalam dewan berjaya ditawan dengan sempurna tatkala pernah menduduki ranking pertama dengan catatan 6.60 saat (s) dalam University of Alabama Birmingham (UAB) Blazer Invitational 2026 awal tahun ini.
Atlet kelahiran Teluk Intan itu kemudian memperbaharui sejarah peribadi dalam acara 200m dalam dewan di mana dia meraih 21.20s sekali gus memadam rekod lama 21.50s miliknya sebelum ini dalam Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California.
Pada penampilan pertamanya dalam 100m tahun ini, Azeem sekali lagi membuktikan kepantasan optimum dengan memenangi tempat kedua dalam Yellow Jacket Invitational pada Mac lalu. Tatkala semua sedang sibuk menyambut perayaan Aidilfitri, Azeem membutirkan kilauan pingat pingat perak.
Awal bulan Mei, atlet muda itu hampir mengejutkan Malaysia dengan catatan 10.08s dalam East Coast Relay yang berlangsung di Jacksonville, namun kiraan tersebut tidak diiktiraf susulan bantuan angin +4.1 m/s tidak layak dijadikan sebagai rekod rasmi berdasarkan peraturan antarabangsa yang menetapkan had bantuan angin maksimum +2.0 m/s.
Tanggal 30 Mei, Azeem Fahmi sekali lagi mencatat sejarah gemilang bagi atlet olahraga Malaysia apabila menyamai rekod kebangsaan 100 meter miliknya sendiri dengan catatan 10.09 saat dalam saringan tiga peringkat suku akhir Kelayakan NCAA.
Catatan ini menutup mulut pengkritik yang sebelum ini meragui kemampuan Azeem selepas kali terakhir beliau mencapai 10.09s di Cali, Colombia pada 2022.
Lebih manis, Azeem menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak untuk beraksi di Grand Final NCAA bagi acara individu 100m, yang akan berlangsung bulan depan di Oregon, Amerika Syarikat.
Di sebalik persembahannya yang sering menghadirkan keputusan positif, Azeem juga tidak terlepas daripada episod gelap di mana dia tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat dalam Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion.
Satu pengajaran paling sempurna buat dirinya yang dipilih mewakili kebangsaan dalam Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun sekadar menamatkan saingan dalam pusingan pertama sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada temasya itu.
Berbaki beberapa bulan sahaja lagi, sudah pasti Azeem mahu mengatasi pencapaian dalam edisi 2022. Menuju ke Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun ini menjadi sasaran utama Azeem selaku bekas pemenang pingat ganga temasya tersebut.
Kelebihan Azeem juga ditagih dalam acara berpasukan seperti 4x100m. Dia bersama Kanyinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba, melakukan catatan 38.33s untuk memenangi pingat emas pada tahun lalu.
Itulah manusia bernama Azeem Fahmi yang terpaksa berjauhan dengan keluarga demi prestasi konsisten, tidak putus mengejar rekod dan kejuaraan. Dengan tekad, azam, semangat, bakat dan sokongan, begitu dengan usianya yang masih muda, tidak mustahil Azeem mampu memukau dunia olahraga satu hari nanti.