Sepanyol menoktahkan status dengan bergelar juara Piala Dunia 2026 selepas kali terakhir menjulang trofi paling berprestij bola sepak itu adalah pada 16 tahun lalu.
Kasut emas menjadi milik penggempur dari Perancis, Kylian Mbappe, -yang meledak 10 gol, menafikan peluang Lionel Messi dengan lapan gol- sementara Pemain Paling Bernilai final pula disambar penjaring gol tunggal skuad La Roja, Ferran Torres.
Pemain paling mencuri tumpuan buat skuad Sepanyol semestinya Lamine Yamal yang baru berusia 19 tahun, namun telah mengumpul 32 kap, penamatkan penantian 16 tahun buat Sepanyol selain turut pernah memacu pasukan itu menjuarai EURO 2024 sebelum ini.
Persoalannya sekarang, bukanlah dimana anda ketika berusia 19 tahun lagi, tetapi bagaimana anda mahu percaya pemain baru berusia 19 tahun sudah beraksi di pentas Paial Dunia dan merangkul dua piala paling diburu seluruh pasukan daripada seluruh pelosok dunia.
Selain itu, kejayaan 48 jumlah pasukan pada tahun ini mencuri tumpuan, lebih banyak pasukan daripada rantau Asia dan Afrika turut mengambil peluang mempamerkan kejutan demi kejutan kali ini.
Seluruh dunia pasti masih terngiang-ngiang kisah perjalanan Cape Verde -Satu-satunya pasukan yang Argentina gagal meraih kemenangan - yang meletakkan negaranya di peta dunia, selain kisah fantasi Norway mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah negaranya selepas 28 tahun gagal melepasi peringkat kelayakan.
Malah, istilah ‘anak emas FIFA’ buat Lionel Messi dan ‘VARgentina’ buat julung kalinya muncul dalam edisi kali ini, mana tidaknya dikala video bantuan pengadil. (VAR) diperlukan, tetapi ketika aksi melibatkan Argentina pasti tidak akan digunakan pegawai permainan, hingga mencetuskan kontroversi melibatkan aksi ketika Argentina berdepan Mesir, Switzerland, England terutamanya, terdapat juga ciapan di media sosial hari ini membicarakan bahawa kad merah buat Enzo Fernandez sudah terlambat tetapi inilah bola sepak, kejam- mengasyikkan dengan caranya tersendiri.
Tidak lupa juga faktor-faktor X yang turut menghiasi Piala Dunia 2026 kali ini, antaranya waktu rehat hidrasi yang kerap menjadi perbualan, persembahan separuh masa perlawanan ketika final, bola rasmi Adidas TRIONDA (Tiga Gelombang), Viking Row, kawalan ketat memasuki negara Amerika Syarikat serta ‘The Last Dance’ buat beberapa nama besar seperti Cristiano Ronaldo (Portugal), Neymar (Brazil), Lione Messi (Argentina), Luka Modric (Croatia), Manuel Neuer (Jerman), Sadio Mane (Senegal), dan Kevin De Bruyne (Belgium).
Begitupun, ketika penulis menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Argentina-Sepanyol awal pagi tadi di sebuah restoran di ibu kota, keriuhan penyokong bola sepak tanah air, gelak tawa kekecewaan dan senyuman penyokong yang hadir itu tiba-tiba mengusik perasaan paling dalam tersimpan dalam diri, momen sokongan itu hampir serupa ketika perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia ketika aksi final Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno pada 16 tahun lalu dan juga penulis berada di tempat sama.
Sokongan yang tidak dapat dibeli, ratusan penyokong hadir memberikan sokongan, nyanyian lagu Negaraku yang bikin bulu roma meremang, tangisan dan gelak tawa. Cuma perbezaannya kali ini, kita menyokong negara kuasa besar dalam bola sepak dunia.
Dengan kemungkinan penambahan pasukan daripada 48 pasukan kepada 64 pasukan dalam edisi akan datang, mungkin ini peluang terbaik buat skuad Harimau Malaya merampas kembali peluang dan kepercayaan penyokong bola sepak tanah air, merebut tempat dan membuktikan impian ke Piala Dunia sejak Merdeka yang diimpikan masyarakat bukan lagi sekadar mimpi di siang hari.
Adakah kita sudah bersedia untuk merealisasikan mimpi itu?