Skip to main content

Sukan

Meledak: Sejauh mana khidmat Faizal ditagih?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Faizal Saari kembali bersama skuad negara

Meninjau liputan wartawan Astro Arena Karl Nunis bersama jurukamera Hurzaid Md Rosli  menjelang edisi ke Piala Sultan Azlan Shah, penulis tertarik dengan hakikat bagaimana sekelompok bekas pemain negara kembali menabur bakti dengan pelbagai cara.

Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Nor Azlan Bakar, M. Kaliswaran dan Mohd Madzli Ikmar Mohd Noor – nama-nama besar yang pernah beraksi dalam banyak edisi Piala Sultan Azlan Shah - adalah antara bekas tonggak negara yang memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu dengan remaja hari ini yang bakal mewarnai arena hoki hari esok, menerusi Klinik TNB Thunderbolts.

Advertisement

Menyentuh Thunderbolts, Faizal Saari antara produk ternama yang lahir hasil daripada program pembangunan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), asalnya dinamakan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP).

Andai program pembangunan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) melahirkan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Razie Rahim, Megat Azrafiq Megat Tarmizi, Baljit Singh dan Sallehin Abdul Ghani, SSTMI mengambil alih tugas mengasah bakat hoki tempatan selepas TNB menjadikan sekolah itu sebagai anak angkat pada 2010.

Selain Faizal, Faiz Helmi Jali dan Mohammad Shahril Saabah dari generasi terdahulu, peminat tentu mengenal mesin pencetak gol Azrai Aizad, Muhammad Amirul Hamizan Azhar, Shello Silverius, Syed Syafiq Syed Cholan dan Najib Hassan yang menerima manfaat hasil daripada program berkenaan.

Bagi Faizal, seorang pakar gelecek sejak awal kemunculannya, belum sempat kayu hokinya yang digantung pada awal tahun ini mengumpul habuk, dia dipujuk membuat pusingan U selepas kali terakhir beraksi untuk Malaysia dalam Trofi Juara-juara Asia di Mongolia September tahun lalu.

Walaupun bakal mencecah usia 35 tahun Januari depan, bapa kepada dua anak ini masih memiliki sentuhan berbisa di depan gawang.

Sepanjang 15 tahun menyumbang tenaga untuk pasukan negara dan pernah beberapa kali digugurkan dan dipanggil semula, Faizal dilihat masih mampu mencipta magis selepas membantu Terengganu merangkul kejuaraan treble — Charity Shield, gelaran liga dan Piala TNB (keseluruhan) dalam Liga Hoki Malaysia. Bahkan anak jati Kelantan itu muncul penjaring terbanyak liga dengan 23 gol daripada 12 perlawanan.

Faizal, yang turut membantu Terengganu mempertahankan gelaran Piala Razak di Bukit Jalil bulan lalu, juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan dengan 14 gol.

Dengan rekod 302 kaps dan jumlah jaringan yang mengagumkan iaitu hampir 200 gol antarabangsa, kehadiran Faizal ditagih Sarjit Singh, biarpun ketika artikel ini ditulis pemain itu pulang ke Kelantan bagi menziarah abangnya yang diserang penyakit jantung.

Andai terpilih menyertai Speedy Tigers untuk edisi ke-31 Piala Sultan Azlan Shah, ia bakal menentukan sama ada khidmat Faizal terus dituntut menjelang kelayakan Piala Dunia FIH awal tahun depan, di saat skuad negara memburu tempat ke Piala Dunia untuk kali keempat berturut-turut, kali ini di Belanda dan Belgium pada Ogos 2026.

 

Must Watch Video