Kontinjen Malaysia menoktahkan temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan enam pingat emas, lapan perak dan 13 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan mengumpul 27 pingat.
Meskipun, jumlah kutipan itu berbeza secara dasarnya berbanding edisi lalu di Hangzhou, China -mengumpul tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa- namun di atas faktor pengecilan kontinjen, iaitu hanya 68 atlet beraksi dalam 10 daripada 18 jenis sukan dipertandingkan, pujian layak diberikan selain tiga rekod Asia baharu yang dicipta atlet nagara menerusi sukan olahraga, berbasikal dan renang.
Antara penyumbang emas negara adalah Wong Kar Gee (lompat jauh lelaki T12), Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20), Cheah Liek Hou-Mohamad Faris Ahmad Azri (beregu lelaki SU5), Ahmad Tarmizi Zuhairi (berbasikal para dalam ujian masa 1,000m lelaki C4-5), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting B-72kg) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang 100m kuak dada lelaki SB4)
Tiga daripada emas itu hadir menerusi atlet sama yang menyumbangkan pingat dalam edisi di Hangzhou sebelum ini membabitkan Latif, Bonnie dan Syaiful. Sementara itu, dalam edisi kali ini turut menyaksikan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, terlepas emas keempat berturut-turut apabila terpaksa berpuas hati dengan perak selepas atlet akur kepada atlet Arab Saudi, Bader Ali yang memecahkan rekod temasya serta memadam impian Ziyad.
Terang lagi bersuluh, tahap saingan Sukan Para Asia 2026 jelas lebih tinggi daripada masa ke semasa, sekali gus memberikan cabaran baru buat negara dimana usaha dalam mencari bakat baru di peringkat akar umbi yang merupakan kiblat baru negara ketika ini bagi menggilap pelapis-pelapis yang sedia ada agar lebih berdaya saing.
Menerusi Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Mordi Bimol, dalam satu kenyataan hari ini berkongsikan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk mencari pengganti kepada atlet-atlet senior supaya adanya kesinambungan positif menjelang temasya akan datang.
"Yang merisaukan sekarang adalah jumlah atlet para sudah bertambah, maka saingan itu ada. Jika dahulu masih baru, sekarang makin ramai dan saingan makin tinggi, ia beri cabaran berbeza.
"Kami juga menggalakkan pencarian atlet baru bagi menggantikan atlet lama, kami akan tangkap terus untuk persediaan kejohanan akan datang." katanya.
Untuk rekod, kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan di tempat ke-12 dalam carta kedudukan pingat, sedikit ketinggalan berbanding negara jiran lain -Thailand di kedudukan ketujuh dengan 19 emas, Indonesia kelapan dengan 15 emas- menyamai kedudukan dalam edisi lalu.
Lain daripada itu, dalam edisi kali ini, antara insiden yang mencuri tumpuan adalah ketika atlet lompat jauh T37 negara, Muhammad Nazmi Nasri, terlepas pingat perak susulan spike yang digunakan tidak mengikut spesifikasi susulan aduan yang dilakukan atlet Iran.
Sewajarnya isu kecil membabitkan pemenang emas Kejohanan Para Dunia 2024 itu tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi membabitkan perkara kecil yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia meruapkan satu kerugian kerana berlaku dalam temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Oleh itu, langkah-langkah yang mapan perlu diambil bermula hari ini, selain menitik beratkan hal-hal kecil. Untuk terus memastikan atlet-atlet para negara mampu bersaing di pentas dunia secara berterusan, pengesanan bakat baharu perlu dilakukan dengan lebih efisien dengan merancakkan program-program dari peringkat akar umbi bagi memacu kesinambungan prestasi kontinjen negara dengan standard terbaik dalam kejohanan akan datang.
Tidak terhenti di situ, dana sokongan, pendedahan yang maksimum juga antara yang wajar diberikan perhatian agar dapat melahirkan atlet serta pelapis yang mampu membawa cabaran negara serta bersaing di pentas antarabangsa menuju Sukan Para Asia Doha 2030 nanti.