Skip to main content

Bola Sepak

Meledak: Ke mana hala tuju Harimau Malaya selepas pemergian Cklamovski, Friend?

HM

Siapa sangka satu revolusi yang dicanang besar-besaran, berakhir dengan satu krisis integriti terbesar dalam sejarah bola sepak moden Malaysia?

Kelesuan pasukan negara pasca saingan Piala Asia 2023, ditambah dengan kegagalan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan pemergian ketua jurulatih, Kim Pan-gon, mencetuskan satu idea baru, mengasingkan pasukan kebangsaan daripada pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Revolusi Harimau Malaya" merujuk kepada penstrukturan semula secara radikal dan pengasingan unit skuad kebangsaan atas nama Malaysia NT, yang digerakkan pada penghujung 2024 dan awal 2025.

Ia bermula dengan pelantikan dua individu penting, bekas pengendali FC Tokyo, Peter Cklamovski, selaku ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, dan jurulatih muda berpotensi besar, Nafuzi Zain, selaku pengendali skuad B-23 negara.

Tidak lama selepas itu, bekas pemain kebangsaan Kanada, Rob Friend, diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.

Sebagai jalan pintas melonjakkan prestasi pasukan, projek ini meletakkan fokus untuk membawa masuk pemain baru dari luar negara melalui jalur "warisan" (heritage).

Keterujaan peminat mula bercambah setibanya dua pemain pertama, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.

Dua pemain itu mempamerkan aksi memikat ketika Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dalam pusingan kelayakan Piala Asia.
'
Keterujaan itu memuncak dengan kedatangan lima lagi pemain, Facundo Garces, Joao Figueredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Imanol Machuca.

Hasilnya, Malaysia, buat kali pertama sejak 2014, berhasil menumbangkan Vietnam, malah dengan jaringan besar 4-0.

Namun, jalan pintas ke mercu kegemilangan itu rupa-rupanya menjadi jerat yang memakan diri. Kehadiran tujuh pemain warisan berprofil tinggi dari Eropah dan Amerika Selatan berkenaan hanya mendatangkan kegembiraan bersifat sementara.

Kelajuan luar biasa proses dokumentasi mula mengundang curiga di peringkat antarabangsa.

Hanya sehari selepas malam gemilang menentang Vietnam, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerima aduan rasmi.

Siasatan forensik membongkar kebenaran pahit, sijil kelahiran  yang mendakwa datuk atau nenek pemain terbabit dilahirkan di Tanah Melayu rupa-rupanya palsu.

FIFA menjatuhkan hukuman berat, FAM dikenakan denda mencecah RM1.8 juta, ketujuh-tujuh pemain terlibat digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Kemuncak kepada episod duka itu tiba apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan sabitan salah terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan.

Sejurus itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan semua kemenangan Harimau Malaya sepanjang kempen kelayakan, yang meranapkan impian Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia 2027.

Skandal sukan ini kemudian bertukar menjadi kes jenayah komersial apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 45 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Keruntuhan revolusi ini ditandakan dengan penamatan kontrak Friend, Cklamovski, dan Nafuzi awal bulan ini.

Harimau Malaya kini akan melalui dua kejohanan serantau, Piala Hyundai ASEAN (Julai) dan Piala ASEAN FIFA (September), tanpa CEO, ketua jurulatih, barisan kejurulatihan dan barisan Exco FAM.

Dengan pengunduran itu, peminat tertanya-tanya apakah status Malaysia NT? Bagaimana untuk membina semula identiti, meningkatkan kembali ranking Harimau Malaya? Bagaimana masa depan projek naturalisasi dan pemain warisan? Apakah status kerakyatan tujuh pemain berkenaan? Dan yang paling penting, ke mana hala tuju Harimau Malaya selepas ini?

Segala persoalan itu akan dibincangkan dengan kupasan tajam dan mendalam bersama panel khas, Akbar Sahar, Hafizal Hamad, dan Rizal Hashim, dalam Nadi Meledak minggu ini.

Tonton Nadi Meledak setiap Rabu, jam 8.30 malam, hanya di Astro Arena.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

Must Watch Video