Kita mungkin berkongsi udara yang sama, tapi aspirasi kita dalam soal kehidupan berbeza-beza.
Hari ini, kita terpaksa menghirup udara tercemar, di sebalik ia tersedia secara percuma oleh Sang Pencipta angkara kerakusan segelintir tangan manusia yang rela memilih jalan singkat, berselindung di sebalik alasan kelangsungan hidup.
Sudahlah kita sedang berdepan bahang Super El-Nino yang paling ekstrem dalam tempoh seabad ini, jerebu ini turut menyumbangkan masalah kesihatan yang lebih serius.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini berkongsi maklumat yang cukup membimbangkan; Serian mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi 473 diikuti beberapa daerah lain lagi seperti di Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang melepasi tahap bahaya.
Asap tebal yang memasuki ruang udara kita ini ibarat sudah menjadi acara tahunan tetapi ia tetapi faktor keselamatan dan kesihatan semua pihak tidak diremehkan.
Kerajaan Malaysia melalui agensinya, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berdepan cabaran untuk menangani dan memenuhi keperluan atlet mahupun memenuhi sosiologi sukan untuk rakyat biasa.
Garis panduan untuk latihan dan kesukanan juga dikeluarkan tatkala atlet kini meniti fasa terakhir sebelum temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula pertengahan September ini.
Sebahagian besar latihan atlet juga dialihkan kepada sesi di dalam dewan sebagai langkah berjaga-jaga.
Saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada minggu ini juga terpaksa dijadualkan semula mahupun dipindah ke venue seperti acara hoki -- dari Kuala Lumpur ke Temerloh yang pastinya melibatkan cabaran logistik pada saat-saat akhir.
Sembilan lagi lokasi termasuk Kota Kinabalu (130) yang bakal menyambut kunjungan getir Selangor sempena Piala FA juga turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, sementara 'Derby Borneo' untuk aksi Liga Super pula menanti pada Sabtu ini.
Ironinya, Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang diperkenalkan pada 2015 hampir sahaja ditangguhkan gara-gara isu yang sama.
Situasi itu juga memaksa perlawanan Piala Malaysia di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak terpaksa ditunda ketika IPU melonjak melebihi bacaan 160, begitu aksi JDT II dan Kedah di Stadium Perbandaran Pasir Gudang disebabkan penerbangan pasukan lawan terpaksa dibatalkan.