CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) menjadi contoh 'blueprint' buat seluruh dunia?
Dahulu susah dikalahkan, kini mereka belajar cara kita. Difahamkan, Thailand sudah membuka mata selepas kerap ditewaskan Malaysia dengan menganjurkan liga sepak takraw domestik bagi tujuan meletakkan kembali selaku kuasa besar dunia.
Patutkah kita takut? Kebangkitan dalam pembikinan untuk pasukan Thailand? Jawapannya, ia membuka kepada lebih banyak cabaran, persaingan, muka baharu dan perseteruan dua negara.
Media tempatan di sana telah menghebahkan khabar angin berita kembalinya Thailand Takraw League (TTL), seakan diperkasa mengikut replika seperti STL. Desas desus itu semakin bertiup kencang dengan Gajah Perang mula menyusun strategi mencari pelapis, bakat istimewa dan atlet berpengalaman bertanding dalam satu lagi bagi memperkasa pasukan kebangsaan selepas ini.
Tinjauan internet mengatakan format seakan sama, nampaknya Thailand serius dengan pembangunan sepak takraw sama seperti Malaysia.
Satu signal buat kita, namun bukanlah ancaman apabila Malaysia telah membuktikan menerusi kejohanan tempatan ini mampu menyaksikan Golden Tigers memecahkan rekod besar dalam Sukan Asia Aichi Nagoya dan Sukan SEA Thailand seterusnya mencipta pencapaian membanggakan.
Terima kasih kepada kerjasama Astro dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang sudah memasuki edisi ke-12 sehingga melahirkan satu fenomena besar seluruh negara. Lahirnya pemain negara hasil penganjuran CelcomDigi STL setiap tahun.
Andai suatu hari nanti giliran pemain negara berkelana ke tempat orang sebagai import, apa salahnya? Pembelajaran yang unik serta minit permainan yang berkualiti sudah tentu bakal diperolehi.
Kesannya, sukan kegemaran rakyat ini akan terus berada dalam keadaan selamat dan yakin akan terus terbang tinggi.
Impak TTL bergantung kepada pengendaliannya, tetapi STL sudah berada di tahap standard yang cukup hebat. Sedangkan orang luar kagum dengan inisiatif ini, ditambah ada sukan yang 'cemburu' dengan liga kompetitif, maksudnya ia benar-benar berjaya.
Perkembangan terbaru menunjukkan TTL sedang melalui fasa penstrukturan semula yang kritikal ekoran beberapa cabaran domestik.
Idea 2002 itu berkemungkinan besar diperhalusi dengan merangka format yang lebih gah dan difahamkan penawaran hadiah yang cukup lumayan.