Skip to main content

Hoki

Meledak: Bagaimana peluang Malaysia tamatkan kemarau empat tahun gelaran PSAS?

hoki malaysia meledak
Advertisement

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 di Ipoh bermula Jumaat ini akan menjadi pentas terbaik buat ketua jurulatih skuad hoki negara, Brendon Carolan, memburu gelaran pertamanya bersama The Speedy Tigers.

Carolan hampir dapat melakukannya dalam dua pertandingan terakhir, di mana skuad hoki negara bergelar naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya sebelum menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT).

Advertisement

Edisi ke-32 PSAS, yang akan membuka tirai di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh dalam tempoh empat hari ke depan, sentiasa memiliki nilai sentimental yang membekas buat warga hoki tanah air.

Sejak dipertandingkan pada 1983, Malaysia hanya pernah bergelar juara pada 2022 di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih, Arul Selvaraj, dan Carolan pada ketika itu bertindak sebagai penolong kepada Arul.

Advertisement

Selain itu, pencapaian terbaik Malaysia ialah bergelar naib juara sebanyak lima kali, masing-masing pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Edisi kali ini juga menyaksikan ketiadaan pasukan juara bertahan dan nombor dua dunia, Belgium, selain juara berganda Asia, India.

Bagaimanapun, kehilangan dua pasukan gergasi itu diganti dengan kehadiran semula juara 10 kali dan pasukan di ranking ketiga dunia, Australia, yang dilihat akan menjadi halangan terbesar skuad negara dalam misi bergelar juara.

Kali terakhir Australia melakukan penampilan dalam PSAS ialah pada 2018, di mana mereka ketika itu bergelar juara dengan menewaskan England 2-1 dalam aksi final.

Selepas lapan tahun, The Kookaburras akan kembali ke Ipoh, sekali lagi dengan status pasukan pilihan utama.

Australia dijangka akan membawa lapan pemain daripada kempen Piala Dunia FIH, iaitu  Tim Howard, Nathan Ephraums, Lachlan Sharp, Jed Snowden, Craig Marais, Jack Welch, Campbell Geddes, dan James Collins.

Justeru, Carolan dan anak buahnya perlu melakukan sesuatu yang luar biasa seandainya mereka dipertemukan dengan Australia bagi perebutan gelaran.

Selain itu, Pakistan juga dilihat mampu menjadi pencabar The Speedy Tigers untuk ke final tetapi berdasarkan prestasi semasa menentang pasukan di ranking ke-12 dunia itu, masih ada sinar buat Carolan dan anak buahnya menewaskan lawan itu dalam pusingan round-robin.

Berdasarkan lima pertemuan terakhir Malaysia dengan Pakistan, The Speedy Tigers menang dua kali, seri dua kali dan tewas sekali, dengan pertemuan terakhir menyaksikan anak didik Carolan menang 5-4 di peringkat kumpulan Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September lalu.

Justeru, peluang ke final dilihat cerah buat Speedy Tigers seandainya mereka dapat mengelak sebarang kejutan yang berpotensi dijelmakan Kanada, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Jika kita lihat komposisi pemain yang diperkenalkan hari ini, Speedy Tigers memiliki keseimbangan di antara pemain baru dan berpengalaman untuk membentuk satu pasukan mantap yang memiliki tenaga dan keupayaan membaca permainan.

Pemain veteran seperti Marhan Jalil, Hafizuddin Othman (penjaga gol), Faiz Helmi Jali dan gandingan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, masih diberikan kepercayaan untuk mengepalai pasukan bersama pemain yang sedang berada di kemuncak prestasi seperti Shello Silverius, Ashran Hamsani dan Azrai Aizad Abu Kamal.

Carolan juga memiliki diversiti seandainya mahu memberikan peluang buat pemain muda, antaranya Rahuul Fazrien Nazrien, Nabil Irfan Yusof, Adam Ashraf Johari, Andywalfian Jeffrynus dan Azimuddin Syakir Kamaruddin kerana secara tradisinya, pemain muda sentiasa bersedia untuk memberikan kejutan dan mencuri tumpuan seandainya diturunkan di pentas terbesar.

Dengan pemain terbaik dapat dikumpulkan dan dengan semangat beraksi di laman sendiri, Carolan dan skuad hoki kebangsaan diharapkan mampu mendapatkan gelaran kedua PSAS dan menamatkan penantian sejak empat tahun lalu.

 

 

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Must Watch Video