Legenda tinju tanpa kalah, Floyd Mayweather, mengumumkan bakal kembali beraksi menerusi pertarungan eksibisi menentang petinju Australia, Matty 'The Jedi' Floyd, di Bangkok 19 Disember ini.
Mayweather melihat pertarungan itu sebagai persiapan awal sebelum berdepan juara welterweight WBC, Ryan Garcia, dalam perancangan pertembungan pada 2027.
Malah, bekas juara dunia lima kategori itu menyifatkan aksi di Bangkok sebagai pertarungan pemanas badan menerusi pengumuman di media sosial.
Lawan yang bakal berdepan Mayweather itu turut mencuri perhatian kerana latar belakang kehidupannya yang berbeza daripada kebanyakan petinju profesional.
Matty Floyd berasal dari Perth dan mula bergelar petinju profesional pada 2021. Dia mempunyai rekod 15 kemenangan, termasuk 10 menerusi knockout, serta dua kekalahan.
Penampilan profesional terakhirnya menyaksikan dia tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Jack Gregory pada Jun 2025.
Selain tinju konvensional, Matty turut menyertai pertandingan tinju tanpa sarung tangan. Pada September 2025, dia tewas kepada bekas pemenang pingat emas Olimpik, James DeGale, dalam saingan BKFC.
Menurut laporan Boxing News, Matty pernah bekerja sebagai penari bogel dan mengetuai sebuah geng motosikal sebelum memberi tumpuan kepada kerjaya tinju. Dia juga dilaporkan menghabiskan sebahagian besar zaman mudanya di penjara.
Sepanjang berada di dalam tahanan, dia dikatakan berlatih di hadapan cermin dalam sel bagi membentuk gaya pertarungan yang sukar dijangka.
Selepas dibebaskan, Matty membuka sebuah gimnasium dikenali sebagai Pinky’s di Perth. Dia bukan sahaja berlatih di situ, malah turut membimbing orang lain dan mahu membantu golongan muda kurang bernasib baik mencari hala tuju positif menerusi sukan.
Sebelum ini, Matty pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu Tommy Fury, adik kepada bekas juara heavyweight Tyson Fury, bagi meningkatkan profilnya dalam arena tinju.
Sementara itu, Mayweather terus mengekalkan status antara petinju terhebat sepanjang zaman dengan rekod profesional sempurna 50 kemenangan tanpa kalah.
Sepanjang kariernya, dia memenangi gelaran dunia dalam lima kategori berat dan terbabit dalam empat daripada lima pertarungan tinju dengan kutipan tertinggi dalam sejarah, termasuk menentang Oscar De La Hoya, Canelo Alvarez, Manny Pacquiao dan Conor McGregor.
Pertarungannya dengan Pacquiao sahaja dilaporkan memberikan pulangan sekitar AS$300 juta kepada Mayweather.
Walaupun bersara daripada tinju profesional selepas menewaskan McGregor pada 2017, Mayweather terus menjana pendapatan menerusi beberapa pertarungan eksibisi.
Menurut Yahoo Sports, siri pertarungan itu dianggarkan menjana sekitar ASD80 juta (RM320 juta), meskipun angka sebenar tidak didedahkan sepenuhnya.
Ketika kemuncak kariernya, pertarungan Mayweather dilaporkan menghasilkan kira-kira ASD2.7 bilion (RM10.97 bilion) secara keseluruhan.