Skip to main content

Badminton

Masters Thailand: Tewaskan Baruah, Ling Ching buru sejarah dan gelaran pertama

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Masters Thailand: Tewaskan Baruah, Ling Ching buru sejarah dan gelaran pertama

Wong Ling Ching meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan pemain India, Isharani Baruah, untuk mara ke separuh akhir Masters Thailand.

Pemain berusia 22 tahun itu bangkit dengan penuh semangat selepas tewas di set pertama 18-21. Ling Ching mempamerkan ketenangan dan disiplin permainan tinggi untuk menguasai set kedua 21-16 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-13 di set penentuan.

Advertisement

Kemenangan ini membuka laluan kepada satu detik bersejarah buat badminton negara apabila Malaysia kini dipastikan mempunyai wakil di final Perseorangan Wanita kejohanan bertaraf Super 300, susulan kemenangan Goh Jin Wei ke atas Letshanaa dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Pertembungan sesama sendiri antara Wong Ling Ching dan Goh Jin Wei di peringkat separuh akhir bakal menentukan siapa yang mencipta sejarah sebagai pemain wanita pertama Malaysia mara ke final Super 300 dalam era BWF World Tour.

Perlawanan separuh akhir tersebut dijangka berlangsung sekitar jam 5.20 petang, Sabtu.

Untuk rekod, sudah lama Malaysia tidak mempunyai wakil Perseorangan Wanita yang mara sejauh ini di kejohanan bertaraf Super 300 atau lebih tinggi, menjadikan pencapaian ini satu perkembangan positif buat arena badminton negara.

Dalam pada itu, setinggi-tinggi tahniah turut diberikan kepada Letshanaa atas kejayaan mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Letshanaa bersama Wong Ling Ching dijangka memperkuatkan cabaran Malaysia dalam Badminton Asia Team Championships (BATC) minggu hadapan.

Kini, Wong Ling Ching membawa misi besar bukan sahaja memburu slot final, malah mengintai peluang merangkul gelaran pertama kariernya di pentas antarabangsa.

Must Watch Video