Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mara ke separuh akhir Masters Malaysia apabila menumbangkan gandingan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, di Unifi Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Turun selaku pilihan ketiga, gandingan negara itu menguasai penuh set pertama sebelum mencatatkan kemenangan 21-17.
Bagaimanapun, lawan pilihan kelapan itu menterbalikkan keadaan dalam set berikutnya, di mana Fei-Din ketinggalan jauh pada awal permainan dan tidak pernah dapat memintas sebelum tewas 16-21.
Aksi dalam set penentuan pula menyaksikan kedua-dua beregu saling bekejaran mata, bahkan Fei-Din sempat ketinggalan empat mata pada pertengahan set berkenaan tetapi sebaik menyamakan kedudukan 13-13, mereka tidak lagi menoleh ke belakang untuk ke separuh akhir dengan kemenangan 21-16 selepas secara kesuluruhan bertarung selama 53 minit.
Menanti mereka bagi penentuan ke final esok ialah pemenang di antara beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan wakil China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.