Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Gandingan FeiDin muncul naib juara

Masters Malaysia: Gandingan FeiDin muncul naib juara

Hasrat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani untuk meneruskan dominasi Malaysia di bumi sendiri tidak kesampaian selepas tewas pada aksi final Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Pasangan nombor satu negara itu akur dengan kekalahan straight set 16-21, 17-21 kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard dalam tempoh 38 minit.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan harapan Malaysia untuk mempertahankan gelaran dalam kejohanan bertaraf Super 500 tersebut selepas pasangan negara muncul juara dalam dua edisi terdahulu.

Pada 2024, Goh Soon Huat dan Shevon Lai menghadiahkan gelaran beregu campuran buat negara sebelum Man Wei Chong dan Tee Kai Wun menjuarai beregu lelaki menerusi final sesama Malaysia tahun lalu.

Disokong lebih 8,000 penyokong di Unifi Arena, Sze Fei-Izzuddin bagaimanapun bermula perlahan apabila ketinggalan 0-7 pada awal permainan pertama.

Meskipun cuba bangkit, pasangan negara dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan agresif lawan selain melakukan beberapa kesilapan mudah terutama di penghujung set kedua.

“Kami lambat menukar strategi dan lawan membaca permainan kami dengan baik sejak awal lagi. Selepas ini kami juga perlu memperbaiki aspek servis,” kata mereka selepas perlawanan.

Sementara itu, Lundgaard-Vestergaard nyata sukar mempercayai kejayaan meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka di Kuala Lumpur.

“Kami sebenarnya tidak bermain terlalu baik, tetapi berjaya mencari keserasian pada waktu yang tepat. Kami masih tidak percaya berjaya memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama,” kata pasangan Denmark itu.

Dalam aksi perseorangan lelaki, Li Shi Feng mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan wakil Thailand, Panitchapon Teeraratsakul 21-16, 21-17.

Kejayaan itu menyaksikan Li mengulangi pencapaian legenda badminton negara, Lee Chong Wei yang pernah mempertahankan gelaran Malaysia Masters sebelum ini.

Dalam perseorangan wanita pula, bintang Thailand, Ratchanok Intanon muncul pemain wanita paling berjaya dalam sejarah kejohanan selepas menundukkan pilihan utama dari China, Chen Yu Fei 21-17, 21-15.

Walaupun Chen tewas di final perseorangan wanita, China tetap muncul negara paling berjaya dalam kejohanan kali ini apabila turut meraih gelaran beregu campuran menerusi Gao Jia Xuan dan Wei Ya Xin selain kejuaraan beregu wanita hasil kemenangan Chen Fan Shu dan Luo Xu Min.

Related Topics

Must Watch Video