Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pasangan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard, dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Bagaimanapun, wakil negara itu memulakan permainan dengan agak perlahan dalam set pertama, di mana mereka ketinggalan sejak dari awal saingan sebelum akur dengan kekalahan 13-21.
Advertisement
Corak permainan Pang Ron dan Su Yin berubah 180 darjah dalam set kedua untuk mereka tidak pernah ketinggalan sejak memperoleh mata pertama sebelum mudah mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 21-6.
Aksi sengit dipertontonkan kedua-dua beregu dalam set penentuan, bahkan Pang Ron dan Su Yin pernah satu ketika ketinggalan 9-13 tetapi selepas itu, mereka mengejar untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-17 selepas secara keseluruhan bertarung selama 46 minit.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara pilihan kelima dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, dan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh, bagi penentuan ke suku akhir esok.