Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters China apabila menumbangkan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui, di Arena Shenzhen hari ini.
Turun sebagai gandingan bukan pilihan, pasangan negara itu sentiasa mendahului pada awal permainan tetapi membenarkan lawan mengejar kedudukan pada pertengahan set pertama.
Pertarungan berlangsung sengit sehingga mata terikat 22-22 tetapi dalam keadaan getir itu, Pang Ron dan Pei Jing mengatasi tekanan untuk meraih dua mata terakhir untuk memenangi set pembukaan itu 24-22.
Kemenangan itu jelas memberikan keyakinan buat mereka untuk mendominasi set kedua bermula dengan memperoleh tujuh mata pertama sebelum jauh meninggalkan lawan untuk mengesahkan kemenangan 21-5 selepas secara keseluruhan bertarung selama 36 minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke final esok ialah pasangan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian.