Momen penuh makna tercipta di Masters China 2026 apabila dua pemain perseorangan lelaki Hong Kong, China, Jason Gunawan dan Lee Cheuk Yiu, mengajak bekas pemain serta jurulatih negara, Wong Choong Hann, bersama mereka di podium selepas mencipta kejayaan 1-2 dalam saingan berprestij itu.
Gunawan muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Cheuk Yiu, dalam perlawanan akhir dengan kemenangan straight game 21-9, 21-16.
Menariknya, kedua-dua pemain berkenaan berkongsi beberapa persamaan apabila berasal dari Hong Kong, China, tidak diletakkan sebagai pilihan utama di Shenzhen dan menjalani latihan bersama.
Namun, kisah kejayaan mereka tidak lengkap tanpa menyebut peranan Choong Hann yang kini membimbing kedua-dua pemain tersebut.
Ketika sesi penyampaian hadiah, Gunawan dan Cheuk Yiu secara spontan memanggil Choong Hann untuk naik ke podium dan bersama-sama meraikan pencapaian mereka.
Detik itu mencuri perhatian apabila kedua-dua anak didiknya seolah-olah ‘mengangkat’ jurulatih kelahiran Malaysia tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan bimbingannya.
Kejayaan 1-2 itu sekali gus menjadi detik istimewa buat pasukan Hong Kong, China, yang menyaksikan dua rakan sepelatih mendominasi pentas final, dengan Gunawan membawa pulang gelaran selepas menampilkan permainan cukup meyakinkan.
Bagi Choong Hann, momen tersebut pastinya cukup bermakna apabila anak didiknya bukan sahaja berjaya melangkah ke final, malah mampu menutup kejohanan dengan gelaran juara dan naib juara.
Lebih menarik, kejayaan itu turut menyerlahkan sentuhan kejurulatihan Choong Hann di pentas antarabangsa, selepas pengalaman luasnya dalam badminton terus dimanfaatkan untuk membentuk generasi baharu pemain Hong Kong, China.