Beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik-Aaron Tai, kandas dalam suku akhir Kejohanan Badminton Masters China apabila tewas kepada wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, di Arena Shenzhen sebentar tadi.
Beregu pecah ganding itu jelas belum mendapatkan keserasian penuh tetapi tetap memberikan tentangan sepanjang sejam dan empat minit pertarungan.
Mereka tidak membenarkan lawan untuk jauh mendahului mata dalam set pertama tetapi ketika di kedudukan 16-17, Wooi Yik dan Aaron terpaksa akur dengan kekalahan 21-16 selepas lawan memperoleh empat mata berturut-turut.
Aksi lebih baik dipamerkan wakil negara itu dalam set kedua untuk mengikat kedudukan 17-17 sebelum meraih empat mata berturut-turut bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Wooi Yik dan Aaron pada awalnya kelihatan dapat mengikut rentak lawan dalam set terakhir itu tetapi menuju ke penghujung saingan, mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga terkandas dengan kekalahan 16-21.