Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, melangkah gagah ke final Kejohanan Badminton Masters China apabila mudah menumbangkan pasangan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian, dalam aksi separuh akhir di Arena Shenzhen sebentar tadi.
Turun dengan status bukan pilihan, pasangan negara itu, bagaimanapun, mempamerkan penguasaan penuh sejak dari awal permainan, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama sebelum mudah memenangi set pembukaan 21-12.
Aksi lebih kemas dipamerkan Pang Ron dan Pei Jing dalam set kedua, memulakan permainan dengan memenangi lima mata pertama dan satu ketika jauh mendahului 18-19.
Mereka kemudian memenangi tiga mata terakhir untuk mencatatkan kemenangan 21-10 selepas secara keseluruhan bertarung selama 34 minit.
Menanti mereka dalam penentuan kejuaraan esok ialah pemenang di antara beregu pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dan satu lagi pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.